Pinda perlembagaan demi martabat Kanun Jenayah Syariah


Pinda perlembagaan demi martabat Kanun Jenayah Syariah
March 21, 2024

PADA 6 Mac lepas Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) Kelantan meluluskan usul persendirian yang dibawa Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). Ia bertujuan untuk memperkasakan semula 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (KJS) (1) 2019 selepas dibatalkan Mahkamah Persekutuan Februari lepas. Oleh itu bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenainya ikuti temubual LANJUSOH dan MUHAMMAD ARIF ISMAIL bersama anggota Exco Kerajaan negeri USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD ketika ditemui baru-baru ini.

Harakahdaily: Apa tindakan kerajaan negeri selepas usul persendirian dilulus pada sidang DUN 6 Mac lepas?

Mohd Asri: Wakil BBC mengemukakan usul bagi membolehkan 16 seksyen KJS 2019 dikaji semula. Usul tersebut disokong 100 peratus wakil rakyat termasuk dua daripada pembangkang.

Jadi kita di peringkat kerajaan negeri sebelum ini dalam mesyuarat Exco telah meluluskan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan yang juga pengerusi portfolio undang-undang. Dan Timbalan Pengerusi ialah Exco Agama, manakala setiausaha ialah Penasihat Undang-Undang negeri.

Kita akan membentuk jawatankuasa peringkat teknikal. Insya-Allah dalam tempoh terdekat akan diadakan perjumpaan untuk kita mencari jalan bagaimana hendak buat dengan 16 seksyen yang telah dibatalkan mahkamah.

Jawatankuasa itu akan memastikan 16 seksyen tersebut dikembalikan semula. Hasil perbincangan itu akan dibawa semula ke Dun Kelantan untuk digubal semula. Kita yakin dengan keupayaan jawatankuasa khas terbabit.

Ahli jawatankuasa berkenaan melibatkan pihak yang pakar dalam bidang berkaitan termasuk institusi agama, Jabatan Kehakiman Negeri, bahagian penguatkuasaan, pengamal undang-undang, tokoh agamawan dan pelbagai lagi.

Di DUN Kelantan juga ada tujuh ADUN lulusan dalam bidang undang-undang. Jawatankuasa terbabit akan memberi pandangan dan mengsyorkan beberapa pindaan. Kita akan angkat semula supaya 16 seksyen tersebut boleh diluluskan dengan pindaan.

Insya-Allah kita akan wartakan balik setelah diangkat kepada Tuanku al Sultan. Mudah-mudahan selepas diperkenankan baginda ia akan dilaksanakan.

Malah dalam titah istiadat pembukaan Dewan baginda baru-baru ini bertitah supaya kerajaan negeri memperkasa perundangan dan institusi syariah di negeri ini.

Sudah tentu hal ehwal berkaitan dengan institusi mahkamah, bidang kehakiman dan berkait dengan enakmen yang kita hendak perkasa dan pertahankan.

Apa yang kita lakukan sekarang adalah tepat dan selari dengan titah tuanku. Kita yakin apabila semua Adun menyokong penuh enakmen tersebut untuk dilaksanakan semula.

Kita juga menerima keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini. Namun, apa yang kita kesal sikap orang Islam yang mencabar seksyen tersebut sehingga ia dibatalkan. Sebagai orang Islam sepatutnya dia faham berkaitan perundangan Islam.

Namun kita berharap cabaran Nik Elin boleh memperkuatkan lagi mahkamah syariah. Lagi pun kita sudah laksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 setelah diperkenan tuanku sultan. Apabila dicabar dan dibatalkan mahkamah kita amat sedih.

Bagaimanapun kita akan bawa naratif kepada masyarakat supaya mereka faham apa yang kerajaan negeri buat.

Ini kerana masih ada pihak yang mendakwa DUN Kelantan melulus seksyen-seksyen mahkamah syariah sehingga ada yang bercanggah Perlembagaan.

Sedangkan ketika itu enakmen KJS digubal ada wakil daripada Kerajaan Persekutuan iaitu Penasihat Undang-Undang Negeri. Malah untuk makluman pindaan Enakmen 2019 sebenarnya mengambil masa hampir enam tahun.

Kita lihat pindaan itu adalah terbaik dan dibawa dalam DUN untuk diluluskan. Ini kerana 16 seksyen itu besar. Antara seksyen tersebut contohnya Seksyen 13 iaitu berkaitan menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya.

Kita hendak halang masyarakat terutamanya penduduk miskin tidak boleh biarkan anak dia dipelihara orang lain.

Ini kerana ada kes anak diberikan kepada orang bukan Islam. Jadi kita bimbang soal anutan anak terbabit sehingga mencapai usia akil baligh.

Mungkinkah 16 seksyen yang hendak dikaji semula boleh berulang dn dibatalkan semula apabila sekali lagi ia dibawa ke mahkamah?

Jawatankuasa atau panel yang dilantik akan membuat kajian secara menyeluruh supaya tidak sama dengan apa yang ada pada undang-undang peringkat persekutuan atau dalam panel code.

Insya-Allah selepas ini kita yakin ia sukar untuk dibatalkan lagi. Panel khas akan memikirkan daripada pelbagai sudut. Saya bawa persoalan dibangkitkan pengamal undang-undang.

Contohnya, Seksyen 41 KJS 2019 iaitu melakukan transaksi muamalat secara riba, hukum itu hanya dikhususnya kepada orang Islam dan orang bukan Islam tidak terlibat.

Ada pihak mempersoalkan kenapa masih ada bank konvensional di Kelantan. Pihak terbabit seperti tidak sedar, dia tidak faham dalam masyarakat majmuk di negara kita ada non-Muslim.

Individu bukan Islam bebas hendak laksanakan transaksi hal-hal muamalat mengikut kaedah mereka. Mereka boleh memilih kaedah konvensional atau Islamik.

Tidak boleh hendak gubal undang-undang tertentu apabila ia didapati bercanggah perlembagaan persekutuan. Bidang kuasa kerajaan negeri berbatas dan apa yang kita lakukan sekarang mengajak masyarakat Islam tidak terlibat dengan sistem riba.

Walaupun kita melantik panel hebat mana pun namun kalau masih ada pihak yang mahu mencabar Kanun Jenayah Syariah Kelantan, mereka boleh mencari mana-mana kelemahan yang ada.

Kalau hendak diambil kira seksyen tertentu yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan yang digubal di parlimen juga ada persamaan dengan Enakmen KJS Kelantan 2019.

Apa yang kita bimbang ada pihak bawa naratif DUN Kelantan melangkuai bidang kuasa perlembagaan, apa pandangan YB?

Memang diakui ada yang membawa naratif seperti itu. Mereka menganggap undang-undang yang digubal di Kelantan bercanggah dengan persekutuan.

Maknanya mereka menganggap orang yang mengubal undang-undang di DUN Kelantan tiada kelayakan. Ini satu naratif negetif yang tidak betul.

Kerajaan negeri akan membuat sesi penerangan kepada masyarakat di Kelantan. Kita perlu memberi kelonggaran kepada undang-undang Islam tanpa ada campurtangan daripada undang-undang sivil.

Kita pun perlu ada undang-undang sivil dan bukan bermaksud ia hendak dihapuskan. Sepatutnya perlu saling menguatkan. Berilah peluang nafas kepada undang-undang Islam.

Dan masalah itu kalau tidak boleh diselesaikan kita kena buat pindaan perlembagaan persekutuan. Itu sahaja jalan yang terbaik tidak kira siapa yang menjadi perdana menteri.

Perdana menteri digesa mengambil serius hal ini supaya membuat pindaan kepada perlembagaan persekutuan. Pindaan itu seharusnya dibawa di parlimen dalam tempoh terdekat dan kita yakin semua ahli parlimen Islam akan sokong.

Kita yakin kalau perdana menteri memberi respons yang baik maknanya ahli parlimen pelbagai parti daripada Pakatan Harapan (PH) dijangka juga akan memberi sokongan dalam hal ini.

Pindaan perlembagaan persekutuan sangat penting. Ia antara perkara yang dicadangkan ramai pengamal undang-undang yang ikhlas mempertahankan institusi syariah. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

Ulasan