Tuan Guru Abdul Hadi dalam program Majlis Pelancaran Pusat Arkib Permata Ummah di Putrajaya pada 16 Mac 2024.
(FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
Ramadan: Hidupkan jati diri, al-Quran penyatuan ummah
March 17, 2024
PUTRAJAYA: Umat Islam diseru menjadikan Ramadan untuk menghidupkan jati diri dan al-Quran sebagai penyatuan ummah dengan kembali semula kepada cahaya petunjuk daripada Allah SWT kerana kemuliaan hanya didapati apabila berpegang kepada ajaran Islam.
Penaung Yayasan Permata Ummah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ramadan al-Mubarak adalah bulan mulia yang umat Islam dijemput menjadi tetamu Allah SWT untuk dihidangkan makanan jasad, roh dan akal bagi membina sahsiah jati diri sebagai manusia sebenar.
“Maka Allah SWT mendidik dan melatih kita, mentarbiah di bulan Ramadan untuk membina peribadi yang teguh dan kuat, jasad yang sihat, akal yang baik, roh yang teguh imannya untuk menghadapi cabaran (menghidupkan cahaya al-Quran dan ajaran Islam).
“Melatih diri dengan kepatuhan kepada Allah SWT, hanya takut pada Allah tidak takut pada yang lain. Kita diwajibkan berpuasa, menahan diri dari perkara yang halal di waktu siang hari, apa lagi yang haram. Digalakkan dengan ibadat-ibadat sunnah untuk melahirkan sifat takwa dalam diri kita,”ujarnya.
Menurut beliau, manusia ditugaskan oleh Allah SWT di atas muka bumi dengan hidayah melalui al-Quranul Karim yang dipilih diturunkan pada bulan Ramadan sebagai mukjizat ilmu dan diberi kepada Nabi Muhammad SAW sebagai bukti Baginda bukan dilantik oleh manusia.
Menurutnya, mukjizat ilmu ini adalah untuk seluruh manusia kerana kerasulannya untuk bukan untuk satu bangsa, satu kaum, satu zaman atau satu negeri sahaja hingga mukjizat itu menjadi kemuncak kemajuan ilmu sains, teknologi dan lain-lain serta berbeza dengan zaman sebelumnya.
“Sehingga dunia yang luas laksa satu perkampungan yang kecil. Hubungan antara satu sama lain, maklumat dihasilkan dalam masa yang cepat. Maka cukup bagi akhir zaman ini seorang Rasul sahaja Muhammad S.A.W. Diutuskan untuk seluruh manusia (dengan) dikurniakan mukjizat ilmu al Quranul Karim,” jelasany.
Presiden PAS itu menyampaikan perkara tersebut dalam Majlis Pelancaran Pusat Arkib Permata Ummah serta iftar dan kutipan dana anjuran Yayasan Permata Ummah di dewan Bizmilla, Shaftsbury, di sini semalam.
Tambah beliau, manusia yang ada takwa sahaja menerima al-Quranul Karim dan sanggup berjuang untuk menghadapi cabaran menegakkannya serta memimpin manusia ke jalan kebenaran iaitu selamat dari dunia sehingga hari akhirat.
“Kita menyaksikan betapa generasi awal kalangan umat Islam mereka bukan sahaja membaca al-Quran, mereka beramal dengan al-Quran, mereka berjuang untuk menegakkan ajaran al-Quran ini. Mengorbankan harta dan jiwa raga.
“Kita saksikan bila berlakunya peristiwa ‘riddah’ selepas kewafatan Nabi SAW, kabilah-kabilah Arab murtad keluar daripada Islam mengepung Madinah yang menegakkan ajaran al-Quran didukung oleh kuasa besar dunia, Parsi dan Rom.
“Mereka yang paling hadapan berjuang menegakkan al-Quran ini ialah huffaz orang yang hafal Quran, qurra’ orang yang baca quran. Bukan duduk di masjid, menyerah diri, menyerah kalah. Mereka keluar menentang golongan riddah menyebabkan ramai yang mati syahid,” ujarnya mengimbas kisah itu.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan hari ini lebih mencabar apabila umat Islam menyaksikan manusia sangat berhajat pada petunjuk al-Quran kesan kegagalan agama-agama yang lain daripada Islam, termasuk kegagalan ideologi-ideologi ciptaan manusia.
Beliau menyatakan, semua itu tidak memenuhi fitrah, sedangkan naluri manusia punya jasad, roh dan akal, serta manusia tidak hidup bersendiri, tetapi bermasyarakat, sekali gus perlukan jati diri, keluarga, masyarakat dan negara.
“Kepada seluruh pelosok dunia tidak boleh memenuhi aspek-aspek ini melainkan Islam yang terkandung dalam al-Quranul Karim,” ujarnya sambil menegaskan cahaya al-al-Quran tidak boleh dihapuskan.
Namun Tuan Guru memberi peringatan, umat Islam mengalami zaman pasang surut dan kelemahan serta kejatuhan Kerajaan Islam kerana tidak beramal dengan Islam dan meninggalkan petunjuk al-Quran, namun akan tetap ada pembacanya yang tetap memelihara hukum-hakamnya.
Beliau menegaskan, akan tetap ada mereka yang berjuang untuk menegakkannya seperti disaksikan umat walaupun terdapat walaupun umat Islam tidak bersatu kesan daripada serangan pemikiran oleh penjajah, termasuk menerusi perbezaan kaum dan mazhab.
“Sebab itu ulama-ulama meletakkan jenama ahlul Qiblah. Satukan orang Islam yang satu kiblatnya. Yang satu al-Qurannya, yang satu rukunnya, walaupun berbeza dalam perkara cabang,”kongsi beliau.
Majlis ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, Ahli Parlimen Putrajaya, Mohd Radzi Md Jidin serta ramai lagi. – HARAKAHDAILY 17/3/2024
Ulasan
Catat Ulasan