Salah guna kuasa: Mohd. Emir, Isa kena bayar RM3.3 juta



Salah guna kuasa: Mohd. Emir, Isa kena bayar RM3.3 juta
MOHD. Isa Abdul Samad bersama Mohd. Emir Mavani Abdullah diperintah membayar lebih RM3.3 juta kepada FGV.
Oleh SUWARNI MOKHTAR
30 Mac 2024, 7:35 am

KUALA LUMPUR: Mahkamah Ting­gi di sini semalam memerintahkan bekas Pengerusi FGV Holdings Bhd. (FGV), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad membayar ganti rugi RM990,502.61 kerana menyalahgunakan sebuah unit kondominium mewah Troika di Persiaran KLCC milik syarikat terbabit.

Mahkamah turut memerintah­kan bekas Presiden dan Ketua Pe­gawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah untuk membayar ganti rugi RM2,328,705.86 kerana salah guna sebuah lagi unit di kondominium sama, penggunaan kereta dan fa­edah petrol syarikat.

Hakim Mahkamah Tinggi, Da­tuk Mohd. Arief Emran Arifin ke­­tika membaca penghakiman ring­kasnya dalam prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom menyatakan kedua-dua defendan (Mohd. Isa dan Mohd. Emir) telah menyalahgunakan kedua-dua unit kondominium tersebut dan turut secara salah mengubai suah unit-unit berkenaan tanpa mengikut prosedur syarikat.

“Mereka (Mohd. Isa dan Mohd. Emir) telah meletakkan kepenti­ngan mereka dalam konflik dengan syarikat dan telah bertindak bukan untuk faedah syarikat.

“Defendan kedua (Mohd. Emir) juga telah melanggar tanggungja­wabnya apabila melanggar sistem penggiliran (penggunaan) kereta syarikat yang mana defendan te­lah menggunakan tiga kenderaan syarikat untuk kegunaan peribadi. Defendan kedua juga telah me­langgar tanggung jawabnya de­ngan menyalah gunakan kad petrol syarikat. Oleh itu, kedua-dua defendan perlu membayar ganti rugi,” kata hakim itu.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Mohd. Isa membayar kerugian akibat penggunaan kondominium yang dinamakan Unit A sebanyak RM211,200; kos ubah suai (RM295,130); kos per­belanjaan bagi Unit A (RM184,172.61) dan ganti rugi teladan sebanyak RM300,000.


Bagi Mohd. Emir pula, mah­kamah memerintahkan defendan kedua itu untuk membayar kerugian akibat penggunaan kondominium yang dinamakan Unit B sebanyak RM68,400; kos ubah suai (RM207,505.18); kos perbelanjaan bagi Unit B (RM97, 591.95); kos bagi penggiliran penggunaan kereta syarikat (RM1444,371.63); kos penggunaan kad petrol (RM10, 837.10) dan ganti rugi teladan sebanyak RM500,000.

Kedua-dua defendan turut diperintah membayar kos sebanyak RM200,000 setiap seorang.

Terdahulu, Hakim Mohd. Arief memutuskan bahawa pembelian dua unit kondominium mewah Troika yang bernilai RM12 juta (pada ketika itu) tidak salah dan tiada pelanggaran tanggungja­wab oleh kedua-dua defendan terbabit.

Ini kerana, pembelian tersebut sejajar dengan resolusi Ahli Lembaga Pengarah FGV.

“Selain itu, FGV tidak mengalami sebarang kerugian berhubung pembelian tersebut kerana hak milik unit-unit kondominium tersebut masih dipegang oleh syarikat terbabit dan tiada kerugian telah ditunjukkan,” kata hakim.

FGV Holdings Berhad selaku plaintif menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 30 November 2018, menjelaskan saman difailkan terhadap ke­dua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga dikatakan melebihi pasaran.

Syarikat itu memaklumkan saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol oleh Mohd. Emir.

Justeru, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondominium berkenaan dan RM3.15 juta daripada Mohd. Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat serta faedah petrol, selain menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad.

Pada 23 November 2018, FGV memfailkan saman ganti rugi mencecah RM514 juta terhadap 14 bekas pengarah termasuk Mohd. Isa dan Mohd. Emir berkaitan pemerolehan 100 peratus kepentingan dalam Asian Plantation Limited (APL) menerusi tawaran tunai sukarela bersyarat pada 2014. – UTUSAN

Ulasan