Sasaran 3 juta pelancong ke Langkawi 2024 tidak sukar

Sasaran 3 juta pelancong ke Langkawi 2024 tidak sukar
March 5, 2024
Mohd Salleh Saidin

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah melihat tidak sukar untuk mencapai sasaran tiga juta pengunjung di Langkawi bagi tempoh sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin (Bersatu- Kubang Rotan) berkata, keyakinan itu adalah bersandarkan rekod jumlah pelancong yang berkunjung ke pulau legenda itu yang menunjukkan peningkatan dari 2.581 juta pada tahun 2022 kepada 2.810 juta pada tahun lepas.

Menurutnya, statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menunjukkan sehingga 31 Januari 2024, Langkawi telah menerima kunjungan 206,443 pelawat, yang mencecah 93.8 peratus daripada angka sasaran 220,000 pengunjung.

“Langkawi secara umumnya sebelum ini turut menerima kesan serius dari segi jumlah kunjungan pelancong susulan pandemik Covid-19.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh LADA melalui perkiraan ketibaan pelawat merangkumi jeti, kapal persiaran, kapal layar, lapangan terbang dan pelabuhan Langkawi, jumlah ketibaan pelawat pada tahun 2019 mencecah angka 3.924 juta.

“Bagaimanapun disebabkan pandemik, angka itu menjunam kepada 1.804 juta pada 2020, dan seterusnya 1.093 juta (2021).

“Namun sebaik sahaja pintu sempadan mula dibuka, kerajaan negeri, LADA dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta pemain industri yang terlibat bekerja keras untuk mengembalikan jumlah pelancong ke Langkawi ke tahap sebelum pandemik,” jelas beliau.

Mohd Salleh menyatakan, sehubungan itu pelbagai inisiatif telah disusun serta dirancang bagi memastikan Langkawi kembali menjadi pilihan sebagai destinasi pelancongan pasaran domestik dan antarabangsa.

“Pelbagai inisiatif dirangka khusus untuk 2024 melaluI kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) dan LADA.

“Antaranya, meningkatkan kemudahan ke Pulau Langkawi melalui peningkatan laluan baharu dan peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan selain menawarkan Program Insentif Penerbangan Sewa Khas berdasarkan Blueprint Pelancongan Langkawi pada 2011.

“Setakat ini sebanyak enam Penerbangan Sewa Khas dijadualkan dari Chengdu ke Langkawi dengan anggaran keseluruhan penumpang seramai 1,080 orang, termasuk satu lagi laluan Penerbangan Sewa Khas dari Chongqing, China.

“Malah bermula 10 Februari lalu, Syarikat Flydubai telah memulakan laluan penerbangan terus ke Langkawi. Penerbangan ini (berhenti sejam di Penang) tujuh kali seminggu,” jelas beliau dalam sesi soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, penggal ke-15, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Katanya lagi, pembukaan laluan itu bukan sahaja akan memberi kemudahan kepada pelancong Asia Barat, Eropah, Afrika dan lain-lain, malah sebaliknya bermanfaat untuk ekonomi penduduk setempat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Loh Wei Chai (PKR-Bakar Arang) untuk mendapatkan penjelasan mengenai strategi dan inisiatif untuk mengembalikan jumlah pelancong ke Langkawi ke tahap sebelum pandemik Covid-19.

“Justeru, kita yakin Tahun Melawat Kedah 2025 akan melonjakkan lagi jumlah kehadiran itu, dan seterusnya meletakkan Langkawi bukan sahaja pada kedudukan asal daripada segi jumlah pengunjung, malah akan jauh lebih baik daripada itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

Ulasan