Sayur pula naik harga tambah beban rakyat


Sayur pula naik harga tambah beban rakyat
March 15, 2024

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barang kegunaan harian di Malaysia kebelakangan ini, terbaharu sayur-sayuran, berlaku seperti tidak dapat lagi dibendung lagi, malah keluhan rakyat seperti tidak didengari dan nasib mereka tidak terbela.

Pengerusi Lajnah Pertanian dan Keterjaminan Makanan PAS Selangor, Rashid Mohd Kassim berkata, perkara ini seperti sebuah ‘ancaman’ terhadap kesejahteraan kehidupan rakyat sehingga rakyat tiada pilihan selain terpaksa menerima semua beban kenaikan ini.

“Selain kenaikan harga barang pengguna, ‘kehilangan’ barangan asas seperti beras tempatan, kesukaran mendapat minyak paket bersubsidi, kenaikan harga bawang, pampers, susu bayi dan lain-lain telah meruntun jiwa golongan marhaen.
Rashid Mohd Kassim

“Ini termasuk juga kenaikan cukai SST kepada lapan peratus terhadap beberapa perkhidmatan penting, enam peratus cukai SST terhadap perkhidmatan logistik, peningkatan tarif elektrik dan air.

Tambah beliau, terdapat ura-ura kenaikan sehingga 25 peratus harga sayur-sayuran. Salah satu keperluan asas yang penting terhadap kehidupan rakyat di negara ini.

Menurutnya, Sekretariat Majlis Pembangunan Pertanian Selangor memandang serius perkara ini dan jika ia terjadi atas apa-apa juga alasan, ia merupakan satu lagi bukti kegagalan pengurusan dasar pertanian dan keterjaminan makanan di negara ini.

“Kerajaan berselindung di sebalik jualan Rahmah yang diadakan hanya sekali dua dalam satu-satu masa, sebaliknya membiarkan rakyat terkapai-kapai menghadapi situasi sukar bersendirian”, tegas beliau.

Justeru, Sekretariat memandang serius ura-ura kenaikan harga sayur-sayuran dan meminta kerajaan bertindak pantas untuk menghalang kenaikan yang akan menjejaskan kehidupan rakyat serta pengusaha industri makanan seperti restoran, gerai makan, hotel dan sebagainya.
Mohd Yusof Abdullah
.

Sementara itu, Pengerusi Kota Raja Care yang juga AJK Sekretariatnya, Mohd Yusof Abdullah berkongsi pandangan yang sama dengan Rashid.

Beliau yang juga pengusaha projek pertanian beranggapan ‘ugutan’ berkenaan tidak boleh dipandang ringan.

Ini kerana menurut beliau, pihak pengusaha besar menunggu ruang dari kelemahan dasar kerajaan untuk memberi tekanan terhadap pasaran dan menjejaskan harga sehingga ke tahap luar dari kewajaran.

“Sebanyak 25 peratus merupakan jumlah yang tinggi, kadar kenaikan yang tidak munasabah. Tetapi jika melihat kepada keadaan kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini, situasi ini tidak mustahil akan berlaku dan menjerat rakyat sekali lagi”, ujarnya.

Beliau dalam pada itu berharap kerajaan bertindak segera dan memastikan kartel pertanian tidak mencipta alasan untuk membenarkan kenaikan harga sayur-sayuran di negara ini.

“Cukup-cukuplah dengan beban ketiadaan beras tempatan serta kenaikan kos sara hidup sebelum ini. Jangan ditambah parah lagi penderitaan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2024

Ulasan