Selamat Berpuasa, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi



Selamat Berpuasa, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
March 17, 2024

SAYA membaca kenyataan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Tanah Merah semalam bahawa Muafakat Nasional gagal kerana PAS yang meruntuhkannya.

Saya ucapkan selamat berpuasa kepada Datuk Seri Zahid. Ramadhan ini kita perbanyakkan amal ibadat dan kurangkan pertembungan, takut melarat sehingga mengurangkan pahala nanti. Apatah lagi sengaja melontarkan isu yang tidak perlu yang tentunya akan memanjangkan perbahasan antara kedua-dua pihak.

Sekadar mengingatkan, perbualan telefon antara ‘cikgu dan murid’ serta ‘gumpalan kertas A4’ yang berlaku sebelum PRU15 ialah sebesar-besar bukti telah berlaku hubungan sulit antara Datuk Seri secara peribadi dengan pimpinan Pakatan Harapan.

Akhirnya ia terlaksana selepas PRU15. Sudah tentu hujah yang biasa didengar ialah kerana ia titah Yang Dipertuan Agong agar BN bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan. Ya, semata-mata patuh kepada titah sahaja.

Andaikan ia benar, soalannya adakah kerana Titah juga BN sanggup bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan negeri di Perak walaupun ada alternatif yang lain untuk membentuk kerajaan dominasi Melayu Muslim? Adakah kerana titah juga BN sanggup bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan di Pahang walaupun ada alternatif lain untuk membentuk kerajaan dominasi Melalyu Muslim? Jika kerana titah, titah yang mana? Atau titah siapa?

Dan, apabila Datuk Seri Zahid menyatakan harapan agar kerjasama ini kekal sehingga PRU16, dengan maksud di dalam pilihanraya akan datang, BN akan terus bekerjasama dengan PH menentang Perikatan Nasional satu lawan satu, adakah ia juga kerana titah? Tidakkah itu dengan sendirinya bermaksud selepas PRU16 nanti BN akan terus bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan (jika pun menang)?

Janganlah pergunakan kalimah titah sampai begitu sekali. Panjang lagi jawapan boleh diberikan, tetapi lebih baik setakat ini sahaja sekadar respon. Jika tidak dimulakan oleh Datuk Seri Zahid, tiada keperluan untuk menjawab sebenarnya. Kerana semua orang sudah tahu duduk letak isu sebenar.

Buat masa sekarang, jika Datuk Seri terus istiqamah untuk bersama PH, saya ucapkan selamat berjaya.

Selamat berpuasa.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat

Ulasan