Taikun kilang beras kaut untung lebih RM6 juta sehari
TINDAKAN memanipulasi harga beras oleh pengilang atau pengeluar beras berskala besar menyebabkan rakyat ‘dirompak’ lebih RM1 bilion dalam tempoh enam bulan sejak September tahun lalu.
Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
18 Mac 2024, 8:00 am
CYBERJAYA: Pengilang atau pengeluar beras didakwa mengaut keuntungan sehingga RM6.32 juta sehari melalui kegiatan menukar bungkusan kampit beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI).
Jumlah itu berdasarkan purata keperluan rakyat Malaysia terhadap makanan ruji itu sekitar 137,500 metrik tan atau 135 juta kampit beras sebulan.
Tindakan licik itu dipercayai menjadi punca kepada kehilangan beras tempatan di pasaran walaupun golongan pesawah sudah menyumbang sekitar 1.6 juta tan metrik setahun kepada pengeluaran padi negara.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pasukan Petugas Pemantauan Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, hasil lumayan peniaga itu membongkar isu ‘kehilangan’ beras tempatan di pasaran yang mula dikesan sejak akhir tahun lalu.
Menurutnya, tindakan tidak bermoral itu demi mengaut keuntungan berlebihan apabila beras putih tempatan ‘celup’ boleh dijual sehingga RM40 untuk 10 kilogram berbanding RM26.
Katanya, jika beras putih tempatan dijual semula pada harga beras putih import iaitu RM40 sekampit berbanding harga sepatutnya RM26, maka ia akan memberi keuntungan kepada pengilang atau pengeluar sebanyak RM14 sekampit.
“Tindakan memanipulasi harga beras oleh pengilang atau pengeluar beras menyebabkan rakyat ‘dirompak’ lebih RM1.138 bilion dalam tempoh enam bulan sejak September tahun lalu.
“Masalah ini akan berterusan berlaku jika kerajaan menangguhkan keputusan mengenai harga beras dan tiada penguatkuasaan tegas dilaksanakan, maka, lebih banyak duit rakyat akan disamun lagi,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, kegiatan menukar pek bungkusan itu mula dikesan sejak kenaikan harga beras import selepas diumumkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sekitar September tahun lalu kerana mereka tidak ada peluang untuk mengaut keuntungan lebih.
“Kegiatan ini dikesan berlaku memandangkan BPT dan BPI jenisnya hampir sama. Jika BPT dibungkus menggunakan pek beras tempatan, maka harganya tidak boleh melebihi RM26 bagi pek 10 kg,” katanya.
Pada masa sama, NACCOL setakat ini mengesahkan tiada bekalan BPT di pasaran tempatan melalui 30 tinjauan dilaksanakan sendiri pihaknya tiga hari lalu di seluruh negara.
Jelasnya lagi, pihak Kawalselia Padi dan Beras Negara (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) adalah agensi yang diamanahkan untuk menjalankan penguatkuasaan terkait isu beras ini.
Namun, katanya, seolah-olah tidak ada tindakan serius bagi membawa kartel ke muka pengadilan.
Justeru, beliau yakin isu bekalan dan harga beras di pasaran dapat ditangani sepenuhnya jika beras putih Malaysia Madani (BPPM) diperkenalkan kelak dengan satu gred tunggal pada satu harga beras di pasaran tempatan iaitu pada harga RM30 sekampit (10 kilogram).
Katanya, langkah itu diharap dapat mengatasi isu bekalan dan harga beras yang membelenggu rakyat ketika ini.
“BPPM adalah cadangan satu gred tunggal sama ada beras tempatan atau import ia akan dikenali sebagai BPPM sahaja pada harga cadangan RM30 sekampit,” katanya.
Jelasnya lagi, BPPM ini tidak termasuk beras import wangi, beras basmathi import dan beras perang import.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pengguna mengeluh apabila sukar menemui bekalan BPT di pasaran terutama pada hari pertama Ramadan, Selasa lalu.
Malah, tinjauan di beberapa negeri seperti Selangor, Kedah dan Perlis pada hari pertama Ramadan kelmarin mendapati, hanya bekalan beras import memenuhi rak di pasar raya-pasar raya dan kedai-kedai runcit.
Tinjauan juga mendapati, harga beras import pelbagai jenama dijual sekitar RM40 hingga RM65 bagi kampit 10 kg dan ia jauh lebih mahal berbanding RM26 bagi BPT pek 10 kg.
Isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran menimbulkan tanda tanya, ke mana hilangnya hasil yang dikeluarkan para petani negara ini yang jumlahnya sekitar 1.6 juta tan metrik setahun.
Senario sekarang seolah-olah menggambarkan Malaysia mengimport beras 100 peratus kerana yang dijual di kedai semua dilabelkan sebagai import sedangkan realitinya ia hanya sekitar satu juta tan metrik atau kira-kira 40 peratus.
Hakikatnya pengeluaran beras tempatan merekodkan pada 2019 sebanyak 1,516,341 tan metrik beras putih tempatan manakala pada 2020 sebanyak 1,624,468 tan metrik. Pada 2021 pula sebanyak 1,686,368 tan metrik; 2022 sehingga Oktober 2023 adalah 1,181,911 tan metrik. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan