Tanpa tindakan tegas kerajaan isu hina Islam berlarutan

Tanpa tindakan tegas kerajaan isu hina Islam berlarutan
March 21, 2024

Dato' Siti Zailah Mohd Yusof

KOTA BHARU: Tanpa tindakan tegas diambil kerajaan isu penghinaan terhadap Islam diyakini akan terus berlarutan pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, mutakhir ini banyak berlaku perkara yang menyentuh perasaan umat Islam termasuk isu kalimah Allah, menghina Rasulullah SAW dan sebagainya.

“Terkini isu stoking yang tak sepatutnya berlaku. Kita tengok respons masyarakat di media sosial dan kenyataan pemimpin serta NGO mengecam tindakan berkenaan.

“Namun tanpa ada kesatuan umat Islam kita percaya isu seperti itu akan berulang lagi, lebih-lebih tiada tindakan tegas kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway.

Ekoran itu KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangannya.

Siti Zailah yang juga Ketua Muslimat PAS Kelantan berkata, apa yang penting umat Islam merentasi parti politik kena bersatu bagi mempertahankan agama mereka.

“Malah masyarakat bukan Islam perlu menghormati kedaulatan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan,” ujarnya.

Menurutnya juga orang Islam tidak pernah mengganggu-gugat kebudayaan serta agama masyarakat bukan Islam di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap tindakan diambil kerajaan biarpun pihak terbabit dilaporkan memohon maaf.

“Kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap pihak yang didapati menghina dan mencabar Islam,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

Ulasan