Terengganu berdepan cuaca kering, panas





Terengganu berdepan cuaca kering, panas
SEORANG pemuda memancing sambil berteduh menggunakan payung berikutan keadaan cuaca yang panas di Kampung Binjai Manis, Manir, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
7 Mac 2024, 8:39 am

KUALA NERUS: Taburan hujan di Terengganu dijangka berkurangan dengan cuacanya menjadi lebih kering dan panas berikutan fenomena El Nino yang berlaku ketika ini.

Pensyarah Program Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Chong Ju Lian berkata, sepanjang fenomena itu melanda negara, angin timuran yang biasa bertiup ke arah Malaysia menjadi lemah dan boleh bertukar ke arah Lautan Pasifik.

Katanya, apabila keadaan itu berlaku, kelembapan di kawasan negara berkurangan dan terpindah ke arah lautan Pasifik menyebabkan hujan lebih sukar terbentuk.

“Maka, corak cuaca kita menjadi lebih kering dan panas. Sekiranya keadaan kering dan panas ini berterusan dan bertambah serius, bekalan air boleh terjejas.

“Kawasan hutan dan belukar boleh menjadi kering dan berisiko untuk terjadinya kebakaran. Sekiranya hujan lama tidak berlaku, kualiti udara boleh juga mengalami penurunan kerana hujan yang membersihkan zarah-zarah habuk yang terampai di atmosfera.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan menjaga kesihatan dengan lebih optimum dan jangan sesekali melakukan apa-apa perbuatan yang berisiko terjadinya pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.


Bagaimanapun, beliau berkata, Pusat Ramalan Iklim (CPC) dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA) dalam perbincangan diagnostik mereka pada awal bulan lepas mendapati, keadaan di Lautan Pasifik Timur dan Timur Tengah sudah menunjukkan tanda-tanda pengakhiran kejadian El Nino.

Oleh itu, mereka menjangkakan keadaan kembali kepada situasi biasa di sekitar April hingga Jun dengan kebarangkalian setinggi 79 peratus.

“Saya berpendapat kita tidak perlu berasa terlalu risau terhadap kejadian El Nino ini, sekiranya jangkaan CPC ini tepat, kesan negatif El Nino terhadap Malaysia, termasuk Terengganu tidak akan lama berlanjutan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan