Usah biar anak ketagih gajet, hilang minat belajar




Usah biar anak ketagih gajet, hilang minat belajar
Muhammad Zafri Muhammad Anuar - Mac 1, 2024 @ 1:44pm
bhrencana@bharian.com.my

Penggunaan gajet secara berlebihan dalam kalangan murid, terutama mereka yang masih di sekolah rendah adalah antara faktor menyebabkan generasi muda hari ini tidak berminat untuk belajar.

Hari ini penggunaan gajet dalam kalangan murid semakin berleluasa, hinggakan ia menjadi hal biasa bagi seorang murid sekolah rendah memiliki gajet sendiri. Keadaan ini disebabkan terdapat pelbagai jenis model gajet dijual dengan harga mampu milik.

Aplikasi permainan video yang pelbagai serta mudah pula dimuat turun secara percuma melalui telefon pintar berupaya mengakibatkan murid ketagihan terlampau terhadap gajet. Tambahan pula, terdapat permainan video yang memberikan grafik dan visual menarik membuatkan mereka yang bermain menjadi leka serta melupakan pembelajaran akademik.

Lama kelamaan jika dibiarkan perkara ini akan menjadi sebahagian rantaian kehidupan dan ketagihan sehingga tidak mengira masa dan tempat, asal sahaja ada capaian internet mereka pun akan leka serta tenggelam dalam dunia permainan video demi melepaskan ketagihan.
DISYORKAN UNTUK ANDA

Rancang aktiviti sihat, bermanfaat untuk anak pada cuti sekolah

Pungutan suara mampu tamat polemik mansuh UPSR

'Pelajar jadi pembuli kerana mahu berkuasa'

Ketagih pornografi: Ibu bapa perlu periksa telefon anak

KBAT bentuk insan hebat atau bawa mudarat?

Murid Melayu di SJKC disifatkan 'anak tiri', tapi jadi pilihan makin ramai ibu bapa

"UPSR kaedah lama, kecemerlangan tidak terhad kepada akademik sahaja"

Melaka tetapkan majlis graduasi, apresiasi pelajar hanya di sekolah


Bagi sesetengah ibu bapa pula mereka beranggapan pendedahan telefon pintar kepada anak bukan lagi kehendak, tetapi sebagai satu keperluan. Hal ini kerana, terdapat pelbagai platform pembelajaran dalam talian dan sumber maklumat yang boleh diakses oleh si anak untuk menambah ilmu pengetahuan, selain membantu meningkatkan lagi kefahaman berkaitan topik pelajaran yang dipelajari di sekolah.

Namun, ada kala mereka terlupa apabila penggunaan itu dibuat secara melampaui batas, ada natijah yang buruk menunggu di hujungnya. Dalam hal ini peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan anak mereka memanfaatkan gajet sebaik mungkin. Ibu bapa mestilah sentiasa memantau dan mengawal penggunaan gajet si anak bagi memastikan mereka tidak leka dan mampu mengawalnya dengan baik secara berdisiplin.


Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan dari segi penggunaan gajet supaya anak mencontohinya. Kesedaran dalam kalangan ibu bapa pada masa kini amat penting dengan meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama kepada anak kerana pendidikan adalah tulang belakang bagi kehidupan.

Secara keseluruhannya, masalah ketagihan gajet ini adalah isu sejagat yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Walaupun hari ini ia adalah sebahagian tuntutan kehidupan, bagi anak muda terutama mereka di bangku sekolah rendah, jika tidak dikawal dengan baik ia akan membawa kepada penyalahgunaan hingga mampu memberi impak negatif pada masa depan.

Ulasan