Wan Saiful dedah nama MP tawar habuan tukar sokongan



Wan Saiful dedah nama MP tawar habuan tukar sokongan
March 21, 2024


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini gempar apabila Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasik Gelugor) mendedahkan nama beberapa individu yang cuba menawarkan habuan pada dirinya agar menukar sokongan kepada kerajaan.

Sehubungan itu, beliau telah membawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 80A, bagi membawa Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Ahli Parlimen.

Menurut beliau, ini bagi mengenal pasti, membicarakan, memutuskan dan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran kepada beliau untuk mempengaruhi kelakuannya dalam Dewan Rakyat di bawah Peraturan 80(A) yang dibaca bersama dengan Seksyen 9 Akta 347.

“Antara tawaran yang dibuat ialah mengenai peruntukan Parlimen; peruntukan projek RM2 juta; bayaran kos perubatan isteri saya; kos guaman untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah; ada token yang tidak dinyatakan jumlahnya dan juga pengguguran kes saya di mahkamah.

“Tawaran-tawaran ini Yang Dipertua, dibuat oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Gua Musang bersama dua orang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Hasman’ dan ‘Datuk Azman’ pada 17 Januari 2024.

“Dan seorang lagi yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Rahim pada 26 Februari 2024, setelah mereka diperkenalkan kepada saya oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Tanjung Karang,” ujarnya.

Dengan habuan tersebut, jelas Wan Saiful, beliau selepas itu dicadangkan oleh individu-individu tersebut untuk memberikan ucapan dalam Parlimen pada 28 Februari semasa sewaktu beliau membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja sebagai usaha untuk mempengaruhi kelakuan beliau.

“Ini adalah usaha kacau ganggu penawaran dan tindakan yang berbaur ancaman yang salah untuk mempengaruhi kelakuan saya sebagai seorang Ahli Parlimen, Ahli Dewan Rakyat,” ujarnya.

Berdasarkan perkara-perkara tersebut, katanya, tindakan itu adalah satu kesalahan menghina majlis di bawah Seksyen 9D dan Seksyen 9E Akta Majlis Parlimen, Keistimewaan Dan Kuasa 1952 Akta 347 dan boleh jika disabitkan kesalahan dihukum di bawah Seksyen yang sama lantas memerlukan pembentukan sebuah jawatankuasa di bawah Peraturan 80A. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

Ulasan