Wanita kuasai IPTA, lelaki dominasi pasaran kerja





Wanita kuasai IPTA, lelaki dominasi pasaran kerja
GRADUAN wanita lebih sukar dapat kerja selepas tamat pengajian dan gaji permulaan bawah RM2,000. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR dan MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
5 Mac 2024, 8:00 am

PETALING JAYA: PETALING JAYA: Walaupun go­longan wanita menguasai kema­sukan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam tempoh tempoh tiga tahun sejak 2021, namun sektor pekerjaan masih didominasi lelaki.

Jumlah keseluruhan tenaga buruh melibatkan golongan lelaki ketika ini adalah 9.6 juta orang sedangkan 50 peratus wanita mendominasi pelajar IPTA. Jumlah pekerja wanita pula ialah 6.1 juta.

Berdasarkan jawapan lisan Kementerian Pengajian Tinggi di Dewan Rakyat baru-baru ini, tahun 2021 menyaksikan 286,353 pelajar lelaki manakala 403,660 adalah perempuan di IPTA.

Pada 2022 pula, terdapat 282,698 pelajar lelaki manakala 405,927 wanita dan seterusnya 2023 terdapat 287,082 pelajar lelaki dan 410,437 wanita.

Malah laporan Mendepani Cabaran: Perkembangan Kerjaya Bakat Mahir Malaysia dikeluarkan Institut Penyelidikan Khazanah semalam, merumuskan bahawa jurang pekerjaan menyebabkan graduan wanita sentiasa kebelakang berban­ding lelaki kerana sukar mendapat pekerjaan, terdedah kepada masalah terlebih kelayakan dan memperoleh gaji permulaan bawah RM2,000.

Pensyarah Kanan Pusat Pe­ngajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil berkata, perkara itu berlaku kerana amalan dasar kuota apabila ia menghadkan laluan wanita untuk bekerja di samping meng­utamakan golongan lelaki sahaja.



Katanya, walaupun sistem itu bertujuan untuk meningkatkan tenaga buruh wanita namun tidak memberi laluan seluasnya untuk bekerja sekali gus mewujudkan ketidakesimbangan antara keluran graduan dan pengambilan pekerja pada setiap tahun.

“Semua pihak terlalu terikat dengan sistem yang sudah lama diamalkan. Sewajarnya tidak perlu hanya kepada sistem kuota, sebaliknya melihat merit dan peluang tanpa me­ngira jantina.

“Cuma bila wujud kuota tertentu misalnya 30 hingga 40 peratus pekerja wanita, jumlah pengambilan mereka semakin terbatas sedangkan lelaki dibuka seluasnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isu pelajar lelaki ‘pupus’ di IPTA berbanding wanita bukan satu perkara baharu kerana ia pernah dibincangkan pelbagai pihak sejak satu dekad lalu sekali gus ramai melahirkan kebimbangan bakal wujud jurang antara kedua-dua kumpulan jantina itu pada masa akan datang.

Akhbar ini pernah melaporkan diskriminasi jantina menyebabkan jurang ketara antara pekerja lelaki dan wanita me­ningkat 39 peratus meskipun golongan hawa paling banyak mendominasi bilangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara ini setiap tahun.

Mengulas lanjut peningkatan pelajar wanita di IPTA, Nur Hafeeza berkata, golongan itu lebih berminat menyambung pengajian berbanding lelaki tidak berminat belajar kerana hanya mahu bekerja selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, belia lelaki lebih mementingkan keuntungan jangka pendek dengan be­kerja dalam sektor ekonomi gig sekali gus menyebabkan golo­ngan itu ‘pupus’ di universiti.

“Selain itu, adalah kelayakan akademik sendiri sebab laluan ke IPT berdasarkan merit dan kelayakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu membuka lebih peluang kemahiran dan kursus jangka pendek kepada belia agar mereka dapat dilatih dengan pengetahuan yang dapat membuka lebih cabang kerjaya pada masa hadapan. – UTUSAN

Ulasan