13 remaja dituduh bunuh pelajar Kolej Vokasional



13 remaja dituduh bunuh pelajar Kolej Vokasional
Bernama - April 2, 2024 @ 11:09am
Sebahagian daripada 13 remaja lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional Lahad Datu, bulan lalu. - BERNAMA

LAHAD DATU: Tiga belas remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional, di sini bulan lalu.

Mereka berusia 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada kira-kira jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac.

Semua remaja lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun, namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh pada prosiding secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
DISYORKAN UNTUK ANDA









Pada prosiding bermula jam 9 pagi itu, hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada dalam bilik bicara kerana kes membabitkan juvana.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao, manakala dua daripada tertuduh diwakili peguam, Amirul Amin Rashid serta Kamarudin Mohmad Chinki. Baki 11 tertuduh lain tidak diwakili peguam.


Mahkamah menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta bedah siasat diserahkan. – BERNAMA

Ulasan