6 kerusi Parlimen kosong?




6 kerusi Parlimen kosong?
BANGUNAN PARLIMEN
Oleh JUANI ABU BAKAR
4 April 2024, 8:00 am

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berusaha mengosongkan kerusi tujuh wakil rakyatnya yang mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan perlembagaan parti berkenaan.

Pindaan itu berhubung pelucutan serta-merta keanggotaan wakil rakyat Bersatu jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan de­ngan arahan atau pendirian parti.

Hal ini kerana, Bersatu men­dakwa keahlian tujuh wakil rak­yatnya terlucut secara automatik susulan kelulusan pindaan perlembagaan parti itu.

Dakwaan itu bagaimanapun mencetuskan persoalan undang-undang sama ada pelucutan keahlian tersebut membawa kepada kekosongan kerusi memandangkan tarikh kuat kuasa pindaan adalah pada 1 April lalu, sedangkan mereka menyokong kerajaan sebelum tarikh tersebut.

Kepimpinan Bersatu juga pernah membangkitkan alasan bahawa ketujuh-tujuh wakil rakyat itu masih ahli parti memandangkan mereka selama ini digantung dan bukannya dipecat, sekali gus menguatkan hujah bahawa kelucutan keahlian boleh berlaku pada bila-bila masa.

Di samping itu, Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan hanya menjelaskan dua keada­an seseorang ahli Parlimen telah lompat parti iaitu keluar daripada parti dan ahli Parlimen Bebas menyertai mana-mana parti serta tidak menyebut mana-mana ahli Parlimen di­pecat parti.

Bagaimanapun, semua enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang terlibat diberi peluang menetapkan pendirian masing-masing semula walaupun keahli­an mereka tergugur secara automatik berkuat kuasa Isnin lalu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah diarahkan menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kekosongan enam kerusi Parlimen itu.

Namun katanya, Hamzah terlebih dahulu akan menghantar surat kepada semua wakil rakyat terlibat untuk menyatakan pendirian terbaharu masing-masing.

“Mereka diberi tempoh menyatakan pendirian, jika tetap menyokong Anwar, keahlian akan tergugur secara automatik seperti pindaan perlembagaan parti yang diluluskan RoS,” katanya.

Katanya, pindaan itu jelas menunjukkan keahlian Bersatu enam wakil rakyat itu terlucut secara automatik sekali gus, bermakna perlu mengosongkan kerusi Parlimen.

“Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Setiausaha Agung parti menguruskan surat ini. Tetapi saya tidak pasti sama ada surat ini telah dihantar atau belum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, RoS meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas parti itu, 2 Mac lalu dan membolehkan parti itu mengambil langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen, sekali gus membuka laluan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Sebelum ini, Bersatu meluluskan pindaan Perlembagaan parti yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan de­ngan arahan atau pendirian parti.

Pindaan itu dilakukan selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan soko­ngan kepada Perdana Menteri.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Selain itu, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi dukungan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 7 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, semua persoalan itu perlu diteliti Yang Dipertua Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum memutuskan kekosongan berlaku atau sebalik­nya, yang mungkin membuka laluan kepada PRK.

Katanya, tafsiran undang-undang Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Bersatu membabitkan pelucutan keahlian wakil rakyat yang bertentangan dengan arahan parti perlu diambil kira sebelum memutuskan perkara berkenaan.

“Dalam soal ini, kata putus adalah daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana Perlembagaan Persekutuan menyebut beliau yang menetapkan kekosongan kerusi Parlimen yang melihat sama ada pemecatan berlaku atau tidak.

“Jika ada pihak tidak berpu­as hati dengan keputusan itu, mereka boleh membawa ke mahkamah untuk melihat tafsiran undang-undang lompat parti. Memandangkan ia pertama kali berlaku dalam sejarah negara, maka timbul pelbagai persoalan undang-undang sejak Perkara 49 (a) diluluskan Parlimen,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, proses tersebut mungkin berlarutan dan memakan masa sekiranya terdapat pihak membawa kes ke mahkamah kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Adakah keputusan Speaker Dewan Rakyat boleh dicabar di mahkamah? Ini kerana Speaker mendapat imuniti di dalam Akta Parlimen,” katanya. – UTUSAN

Ulasan