Adakah buku fizikal masih relevan ?


Adakah buku fizikal masih relevan ?
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap - April 15, 2024 @ 11:29am
Perubahan besar sedang berlaku dalam industri penerbitan buku di seluruh dunia hari ini yang menyaksikan naskhah fizikal perlu bersaing dengan digital. Arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Perubahan besar sedang berlaku dalam industri penerbitan buku di seluruh dunia hari ini yang menyaksikan naskhah fizikal perlu bersaing dengan digital.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sasterawan Negara Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan, berkata biarpun bentuk penerbitan tradisional atau fizikal masih mendapat permintaan, era digital juga mencorakkan bentuk penerbitan yang baharu sekali gus mencabar penerbitan secara tradisional itu.

Justeru katanya bagi penulis yang bercita-cita tinggi, mereka perlu memastikan karya mereka sampai ke tangan pembaca.

"Jadi bagi penulis, mereka perlu mengambil langkah memilih penerbit yang benar-benar diyakini dapat menerbitkan karyanya.
DISYORKAN UNTUK ANDA






" Mereka wajar mencari penerbit yang mempunyai reputasi dan tanggungjawab untuk menerbitkan karya dengan baik dan berkesan.

" Kebiasaan penulis akan mengambil kira peranan editor yang dapat memantapkan karyanya, reka bentuk buku yang menarik, proses penerbitan pantas, pengedaran meluas, kadar serta terma pembayaran royalti yang menarik dan kompetetif,"katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Penulis Buku, Peluang dan Cabaran sempena Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP baru-baru ini.


Katanya, peluang itu terbuka luas sekiranya memilih penerbit besar berbanding sekiranya memilih penerbit kecil atau indie yang mempunyai rangkaian pemasaran agak kecil dan terbatas.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan kebelakangan ini penerbitan daripada penerbit kecil atau indie juga mendapat sambutan luar biasa.

Justeru katanya, cabaran penerbitan begitu adalah untuk mendapat editor yang bagus bagi memantapkan lagi manuskripnya.

"Adakah tradisi penyuntingan di penerbit besar masih tekal atau sudah merudum?

"Sudah tersediakah editor yang baik sama ada di penerbit kecil atau indie?

"Editor mempunyai peranan penting bagi memurnikan lagi manuskrip seseorang penulis,"katanya.

Anwar yang dilantik Pengerusi Lembaga Pengelola DBP berkuatkuasa 1 Ogos lalu melihat misi penubuhan DBP perlu terus diperjuangkan. Gambar ihsan DBP



Dalam masa yang sama katanya, penulis turut mengharapkan pengedaran, pemasaran, promosi dilakukan sebaik mungkin oleh penerbit berikutan ia memberi impak kepada jualan sekaligus royalti diterima penulis.

Katanya, selain itu hal-hal berkaitan ulasan serta kritikan buku perlu diperkasakan kerana hari ini ia berkurangan.

"Kritikan yang baik akan membuka mata dan hati khalayak sekaligus mungkin menarik minat pihak lain untuk mengangkat karya itu ke platform lain termasuk terjemahan ke dalam bahasa asing.

Dari segi pemasaran katanya, secara umum penerbitan besar mempunyai saluran pengedaran lebih luas seperti kedai buku, perpustakaan serta penjual dalam talian dan kebiasaannya mereka juga mempunyai hubungan erat dengan profesional industri.

Namun masih ada banyak ruang untuk diperbaiki misalnya, penerbit buku juga perlu mempunyai strategi untuk mengangkat sesebuah buku terbitannya seperti novel dijadikan drama atau filem atau diterjemahkan ke bahasa asing lain.

Sementara itu dalam sesi yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tribune Press Sdn Bhd, Datuk Dr Jeniri Amir menerusi kerja kerja bertajuk dunia penerbitan menjelaskan, kira-kira 2.2 juta buku diterbitkan setiap tahun di seluruh dunia merangkumi 88 peratus buku bukan fiksyen dan selebihnya buku fiksyen.

Katanya bagi kategori bahasa, buku bahasa Inggeris menguasai pasaran buku di seluruh dunia selain Mandarin,Jerman, Sepanyol, Jepun dan Russia.

" Berdasarkan senario digital global setiap 60 saat sebanyak 188 juta e-mail dihantar, 500 jam video dimuat naik ke You Tube, 350,000 ciapan di X, 42 juta mesej WhatsApp dihantar dan 208,000 mesyuarat menggunakan aplikasi Zoom.

" Statistik itu sebenarnya memberi implikasi terhadap penerbitan buku. Misalnya, berdasarkan pertemuan dengan beberapa pelajar dari pelbagai universiti sebelum ini mendapati mereka tidak membaca buku.

"Sebaliknya lebih gemar melayari media sosial dengan ada di antara mereka memperuntukkan masa sehingga lapan jam berbuat demikian," katanya.

Tambah Jeniri, di Malaysia terdapat seramai 28 juta pengguna Facebook, 25.9 juta You Tube, 19.3 juta Tik Tok, 16.1 juta Instagram dan 2.1 juta X dan angka ini menimbulkan persoalan nasib buku di Malaysia.

Katanya, minat membaca masih belum mencapai tahap memuaskan menjadi cabaran penerbitan buku berbahasa Melayu sekaligus menyebabkan ia tidak lagi diminati.

Apatah lagi tegasnya, berdasarkan statistik sebanyak 95 kedai buku di negara ini ditutup sejak 2018 termasuk 32 kedai pada 2020 selain sebahagian kedai buku seperti MPH mengurangkan jualan fizikal dan menggunakan strategi jualan dalam talian.

Justeru itu katanya dalam melahirkan lebih banyak penulis buku bahasa Melayu pelbagai pihak berkaitan perlu mengadakan dengan lebih kerap bengkel penulisan bagi melahirkan lebih ramai penulis.

Katanya menawarkan geran atau biasiswa bagi penulis bahasa Melayu antara yang boleh dicadangkan bagi memudahkan mereka menulis dan membantu menerbitkan buku-buku.

Ulasan