Derma organ mampu selamatkan lebih banyak nyawa rakyat



Derma organ mampu selamatkan lebih banyak nyawa rakyat
Dr. Hasdy Haron, Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC). - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Oleh OMAR ZIN dan AHMAD FITRI MOHD. ASRI
28 Mac 2024, 8:00 am

MUKADIMAH
SEJAK 1997, seramai 382,020 yang telah berikrar akan menderma organ baharu, namun hanya 883 individu didapati benar-benar menderma organ sedangkan jumlah senarai menunggu yang memerlukan organ kini mencecah 9,608 orang.

Ini menimbulkan persoalan mengapa berlakunya jurang besar antara jumlah penderma dan penerima organ, menunjukkan wujudnya kekangan tertentu dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia yang masih berpeluang untuk meneruskan kehidupan.

Ikuti wawancara Timbalan Pengarah Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), DR. HASDY HARON bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dan AHMAD FITRI MOHD. ASRI serta jurufoto, MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI bagi mendapatkan pandangan beliau.

UTUSAN: Bagaimana tahap pendermaan organ di negara ini?

DR. HASDY: Saya telah berkhidmat di NTRC sejak 2011 dan memang kita dapati banyak cabaran sebenarnya dan yang paling besar untuk meningkatkan kesedaran awam dan jumlah penderma organ supaya kita dapat buat transplan dan pemindahan organ itu dapat dilaksanakan sebab pesakit dalam transplan sentiasa ada dan sentiasa meningkat.
Faktor antara permintaan dan bekalan dari penderma organ masih kurang dan kita masih sukar untuk betul-betul mendapat satu jumlah penderma organ yang mencukupi setiap tahun dan dari segi kesedaran awam pun kita dapati memang masih banyak cabaran yang kita nak lakukan untuk memastikan orang awam semua berikrar sebagai penderma organ.

Apa risikonya jika pemindahan organ terus berkurangan?


Jika tiada transplan, mereka akan meninggal dunia sementara menunggu. Bila kita adakan program pendermaan organ ini, tujuannya untuk memberi peluang pesakit meneruskan kehidupan lebih baik.
Polisi transplan kebangsaan secara dasarnya menyatakan bahawa setiap pesakit di Malaysia berhak mendapat peluang untuk transplan. Macam mana nak dapat peluang kalau tiada organ. Jadi orang perlu menderma. Pentingnya, sebab kita nak selamatkan nyawa orang. Kita nak beri mereka peluang kedua untuk hidup.

Bagaimana proses pemindahan organ dilakukan?

Apabila seseorang individu meninggal dunia di hospital, kita akan kenal pasti sama ada dia mempunyai organ yang sesuai untuk didermakan. Ada beberapa siri ujian dilakukan dan apabila disahkan kematian barulah doktor akan jumpa ahli keluarga atau waris dan bertanyakan mengenai pendermaan organ.
Jadi, bila kita jumpa ahli keluarga, kita akan terangkan dan beritahu peluang untuk menderma. Jika waris bersetuju, kita akan terus buat beberapa ujian saringan sama ada organ masih bagus atau tidak, barulah buat pembedahan.

Kita cuma lakukan pemindahan organ di bilik bedah sahaja. Selalunya kita akan buat pemindahan dalam pukul 2 atau 3 pagi dan ia dilakukan dengan penuh hormat dan teliti seperti seolah-olah dia hidup lagi.
Hanya organ yang bagus sahaja kita boleh ambil, kalau tidak, kita tidak akan usik. Selesai urusan, kita bersihkan jenazah dan kita serahkan balik kepada keluarga keesokan paginya. Selalunya akan habis dalam pukul 6 atau 7 pagi. Pukul 8 pagi, kita dah serahkan jenazah pada keluarga.

Selalunya, kita akan tanya keluarga kalau nak tengok jenazah macam mana dan kita akan pastikan jenazah dalam keadaan baik dan lepas itu keluarga boleh bawa balik ataupun uruskan jenazah mengikut agama masing masing.

Kalau melibatkan kes medico-legal, maksudnya kematian seperti kemalangan, pembunuhan, bunuh diri dan sebagainya, kita perlu kebenaran daripada keluarga, polis dan majistret.

Berapa lama organ biasanya bertahan?

Prinsip pembedahan pemindahan organ ini lagi cepat kita pindahkan atau transplan lagi bagus, ini kita panggil tempoh iskemik. Ketahanan organ jantung dan paru-paru paling singkat iaitu selama empat hingga enam jam. Hati pula lapan hingga 12 jam manakala buah pinggang 12 hingga 24 jam.

Berapa kadar kejayaan transplan organ?

Kadar kejayaan agak bagus sebenarnya untuk kategori kadaverik (penderma meninggal dunia). Contohnya, buah pinggang sahaja mencatatkan lebih 90 peratus untuk tahun pertama survival manakala penderma masih hidup dalam 97 ke 98 peratus.

Apa perancangan NTRC ketika ini?

Beberapa tahun kebelakangan ini, kita memang banyak fokus untuk pengesanan penderma di hospital, sebab kita kena faham bila orang meninggal dunia, keluarga mungkin tidak ingat, sebab dalam kesedihan. Mana nak ingat nak derma organ. Yang kena ingatkan ialah hospital supaya peluang menderma organ itu tidak hilang.

Kita pernah melakukan beberapa kajian retrospektif pada 2014 dan 2015. Ada beberapa pengikrar penderma yang meninggal dunia, tapi kita tidak kesan di hospital. Jadi, pihak hospital perlu melakukan pengesanan dan NTRC fokus juga pada kesedaran awam.



Cabaran seterusnya, waris sama ada setuju atau tidak, ini cabaran besar. Pada masa ini, kita sentiasa lakukan kempen fizikal, ada jemputan di setiap negeri dan selalunya kita akan ikut sekali dengan kempen derma darah.

Kita juga ada media sosial ataupun media arus perdana untuk kesedaran, terutamanya media sosial yang banyak tumpukan golongan muda, golongan pertengahan dan sebagainya dengan kandungan tentang transplan.

Kita juga perlu adakan kerjasama strategik dengan pihak tertentu. Kalau kita lihat, mungkin banyak orang Islam takut nak derma organ, jadi NTRC memang bekerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Baru-baru ini kita ada program forum Islam dengan pihak majlis fatwa dan sebagainya dengan menyediakan segala maklumat mengenai transplan dan derma organ, hukum dia harus dan dijelaskan segala isu yang masyarakat tidak faham contohnya kenapa perlu melengah-lengahkan jenazah, kenapa mencacatkan jenazah, semua itu mufti dan pihak agama terangkan.

Kami juga adakan minggu kesedaran pendermaan organ iaitu sempena Hari Pendermaan Organ pada 13 Ogos. Insya-Allah, tahun ini pun kita akan rancang untuk melakukan program untuk tingkatkan kesedaran awam.

Di hospital pun ada peranan, orang awam pun ada peranan. Perlu penglibatan kedua-dua pihak. Kalau orang hospital sendiri pun tidak percaya transplan atau pendermaan organ susah juga.

Apa nasihat doktor dalam menggalakkan pendermaan organ?

Harapan saya untuk komuniti dan masyarakat di luar sana adalah menyokong pendermaan organ. Mungkin anda semua mungkin belum bersedia lagi nak menjadi penderma organ, tetapi jika ada peluang menjadi penderma organ, kita harap dapat sokongan daripada semua orang.

Percayalah, ramai sangat orang Malaysia masih perlukan organ. Saya harap masyarakat Malaysia dapat memberi sokongan padu. Satu hari nanti, kita dapat memberi peluang kepada pesakit-pesakit supaya dapat meneruskan kehidupan baharu. – UTUSAN

Ulasan