Dilema politik Melayu dalam landskap politik baharu



Dilema politik Melayu dalam landskap politik baharu
Selagimana parti-parti politik Melayu berada pada haluan yang berbeza, dilema ini akan berterusan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Oleh Marzuki Mohamad
15 April 2024, 3:30 pm

SAYA meneliti dengan tekun tulisan terbaharu rakan saya dari parti DAP, Dr. Ong Kian Ming, bertajuk Scrutinizing the DAP’s Success in the 2023 Malaysian State Elections. Tulisan ini diterbitkan dalam Trends in Southeast Asia, sebuah makalah terbitan ISEAS-Yusof Ishak Institute, Singapura.

Antara dapatan menarik dalam kajian beliau di 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 ialah 80 peratus pengundi Melayu Barisan Nasional (BN) telah beralih menyokong Perikatan Nasional (PN). Dapatan ini hampir selari dengan kajian praPRN yang saya dan Syakirin Zulkifli, penyelidik Institut Masa Depan Malaysia, jalankan di negeri Selangor sebelum PRN 2023. Kajian kami yang disiarkan dalam ISEAS Perspective pada 5 Julai 2023 menganggarkan hampir 70 peratus pengundi Melayu BN di Selangor beralih mengundi PN dalam PRN 2023.

Dapatan ini tentu sekali mengujakan penyokong PN.

Namun, dari satu sisi yang lain, kajian oleh Kian Ming juga mempamerkan data bahawa hasil kerjasama dengan UMNO, sokongan Melayu kepada DAP di 47 kerusi DUN telah meningkat dari 19 peratus pada PRU 15 kepada 26 peratus pada PRN 2023, iaitu peningkatan sebanyak 7 peratus. Sokongan pengundi Melayu kepada DAP di Selangor meningkat secara purata dari 25 peratus kepada 32 peratus dan di Negeri Sembilan dari 18 peratus kepada 31 peratus.

Penelitian beliau di beberapa peti undi di Negeri Sembilan mendapati sokongan pengundi Melayu kepada DAP ada yang mencecah hampir 50 peratus. Ini adalah kesan pemindahan undi UMNO kepada DAP terutamanya dalam kalangan penyokong-penyokong tegar UMNO yang telah berumur. Mereka ini adalah penyokong setia UMNO yang mengikut arahan parti supaya mengundi mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan termasuk DAP.

Hasilnya, DAP menang 46 daripada 47 kerusi yang dipertandingkan. DAP kalah hanya satu kerusi yang ditandinginya iaitu Derga di Kedah.


Selain itu, kajian tersebut juga mendapati hampir 100 peratus pengundi Cina di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah mengundi DAP. Dengan sokongan padu pengundi Cina dan 26% peratus sokongan pengundi Melayu, DAP menang selesa bukan sahaja di kerusi-kerusi majoriti pengundi Cina tetapi juga di kerusi-kerusi marginal DAP seperti Sekinchan, Sungai Pelek dan Chennah.

BAGAIMANA PULA DENGAN UMNO?

Nasib UMNO tidak sebaik DAP. UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya. Ini pencapaian terburuk UMNO dalam sejarah parti itu.

Jika kerjasama UMNO-DAP menguntungkan DAP, kenapa ia tidak menguntungkan UMNO?

Jawapannya mudah sahaja. UMNO berhadapan dengan penolakan orang Melayu terhadap kerjasama parti itu dengan DAP. Oleh kerana UMNO secara tradisinya bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu, penolakan orang Melayu terhadap UMNO, termasuk peralihan 80 peratus sokongan penyokong parti itu kepada PN, memberikan ‘kecederaan’ teruk kepada UMNO di kerusi-kerusi majoriti Melayu. Jika adapun pemindahan sokongan pengundi Cina DAP kepada UMNO, ia tidak dapat menyelamatkan UMNO kerana peratusan pengundi Cina di kawasan-kawasan ini adalah kecil.

UMNO hanya selamat di kawasan-kawasan yang terdapat peratusan pengundi Cina yang besar seperti Dusun Tua di Selangor dan di kawasan-kawasan yang terdapat penyokong tegar parti itu yang berumur seperti di Negeri Sembilan. Selain kawasan-kawasan ini, kedudukan UMNO adalah amat goyah.

Ringkasnya, terdapat tiga kesimpulan utama yang boleh dibuat berdasarkan trend yang diperhatikan:

i. Pengundi Cina memberikan sokongan yang padu kepada DAP dan secara implikasinya kepada parti-parti PH dan sekutunya.

ii. Terdapat pemindahan undi UMNO kepada DAP/PH terutamanya dalam kalangan pengundi UMNO tegar yang telah berumur.

iii. Berlaku peralihan besar-besaran sokongan pengundi Melayu UMNO kepada PN disebabkan penolakan mereka terhadap kerjasama UMNO-DAP.

IMPLIKASI MASA DEPAN

i. Dengan sokongan hampir 100 peratus pengundi Cina kepada DAP, parti itu akan menjadi bertambah kukuh. DAP akan menang besar di semua kerusi majoriti Cina dan kerusi-kerusi campuran kaum, iaitu kerusi yang tiada mana-mana kaum membentuk majoriti dengan peratusan pengundi Cina yang besar.

ii. Dengan sokongan sekitar 25 peratus-30 peratus pengundi Melayu kepada DAP hasil kerjasama dengan UMNO, DAP dan parti-parti sekutunya dalam PH juga boleh menang di kerusi-kerusi majoriti tipis Melayu terutamanya di negeri-negeri jajaran Pantai Barat seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Ini dengan syarat, pengundi-pengundi tegar UMNO yang setia kepada parti itu boleh “dipujuk” untuk menyokong parti sekutu UMNO dalam PH.

iii. Persempadanan semula kawasan pilihanraya yang bakal disiapkan sebelum PRU-16 akan menambah lebih banyak kerusi-kerusi majoriti pengundi Cina dan kerusi-kerusi campuran kaum. Berdasarkan data pengundi PRU 15, terdapat 22 kerusi majoriti Cina dan 25 kerusi campuran di Semenanjung Malaysia dengan jumlah pengundi antara 52,000 (Tanjong) hingga 300,000 (Bangi). Jika berlaku pertambahan kerusi-kerusi ini, kelebihan memihak kepada DAP;



iv. Untuk memberi gambaran proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang lebih adil, berkemungkinan kerusi-kerusi majoriti tipis Melayu (iaitu majoriti Melayu 65% ke bawah) di negeri-negeri jajaran Pantai Barat juga akan ditambah. Berdasarkan data pengundi PRU 15, terdapat 20 kerusi majoriti tipis Melayu di Semenanjung Malaysia (semuanya di negeri Pantai Barat) dengan jumlah pengundi antara 55,000 (Semberong) dan 169,000 (Sungai Petani). PH akan mempunyai kelebihan di kawasan-kawasan ini dengan sokongan 100 peratus pengundi Cina dan sekurang-kurangnya 30 peratus sokongan Melayu dan

v. Kerusi majoriti Cina, campuran dan majoriti tipis Melayu akan menjadi kerusi selamat untuk PH dan parti-parti sekutunya. PN pula akan mempunyai kelebihan di kerusi-kerusi majoriti besar Melayu.

KEDUDUKAN UMNO

UMNO tidak akan bertanding di kerusi-kerusi majoriti Cina.

UMNO juga tidak akan bertanding di kerusi-kerusi campuran.

UMNO secara tradisinya akan bertanding di kerusi-kerusi majoriti besar Melayu.

Maka UMNO tidak akan mendapat apa-apa kelebihan hasil kerjasamanya dengan PH di kawasan-kawasan ini. Sebaliknya, UMNO berhadapan dengan kemungkinan mengalami ‘kecederaan’ teruk di kawasan tradisinya sendiri, iaitu kawasan majoriti besar Melayu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), survival UMNO akan bergantung kepada jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh parti itu di kawasan-kawasan majoriti tipis Melayu yang merupakan kerusi selamat PH dan sekutunya. Pada masa ini, daripada 20 kerusi majoriti tipis Melayu di Semenanjung Malaysia, hanya 6 kerusi disandang oleh UMNO. 11 kerusi disandang oleh PH dan 3 kerusi disandang oleh PN.

Kita sudah boleh agak UMNO akan berhadapan dengan cabaran yang amat getir untuk menambah kerusi-kerusi kategori ini dalam rundingannya dengan PH menjelang PRU16. Sudah pasti PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertegas untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang disandangnya pada masa ini. Jika prinsip kerusi penyandang kekal kepada penyandang diguna pakai dalam proses rundingan kerusi seperti kebiasaannya, adalah mustahil untuk PKR dan Amanah memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi-kerusi yang disandang oleh parti itu di kawasan majoriti tipis Melayu.

Kecualilah kerusi-kerusi dalam kategori ini ditambah dalam proses persempadanan semula kawasan pilihanraya, maka ada peluang untuk UMNO menambah beberapa lagi kerusi selamat. Itupun pada perkiraan saya tidak banyak kerana PKR dan Amanah juga sudah tentu mahu bertanding di kerusi-kerusi tambahan ini yang dikira sebagai kerusi Gred A, iaitu kerusi selamat untuk PH.

Apa yang pasti, kerusi-kerusi majoriti tipis Melayu akan menjadi rebutan dan pertikaian hangat antara UMNO, PKR dan Amanah.

Jadi pada masa ini bolehlah diandaikan UMNO hanya mempunyai enam kerusi selamat di Semenanjung Malaysia untuk PRU16 dengan sokongan padu pengundi Cina. Pengundi-pengundi Melayu di kawasan ini akan berpecah antara mengundi UMNO dan PN. Di kerusi-kerusi lain pula UMNO akan berhadapan saingan sengit dari PN.

Kesimpulannya, survival UMNO pada masa hadapan akan bergantung kepada sokongan padu pengundi Cina kepada PH dan parti-parti sekutunya. Sekalipun jika gabungan PH-BN dapat membentuk kerajaan semula selepas PRU16, keberadaan UMNO dalam kerajaan tidak segagah mana. Bilangan kerusinya juga mungkin akan berkurang.

Kedudukan UMNO pada masa itu barangkali samalah seperti kedudukan MCA dalam BN pada waktu kegemilangan UMNO dahulu. Sepertimana MCA terpaksa bergantung kepada sokongan pengundi Melayu kepada BN untuk menang pilihanraya, begitulah juga UMNO terpaksa bergantung kepada sokongan pengundi Cina kepada PH untuk menang.

Jadi walaupun ada parti politik Melayu dalam kerajaan, kuasa politiknya sudah tidak ada lagi. Ia hanya sebuah parti yang lemah. Parti-parti politik Melayu yang lain walaupun mendapat dokongan besar orang Melayu pula berada dalam pembangkang. Mereka juga tidak ada kuasa politik.

Inilah dilema politik Melayu dalam lanskap baharu politik Malaysia. Tidak ada satu pun parti Melayu memegang tampuk kuasa politik. Selagimana parti-parti politik Melayu berada pada haluan yang berbeza, dilema ini akan berterusan.

DATUK Dr. Marzuki Mohamed adalah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).-UTUSAN

Ulasan