Gerakan optimis mampu saingi DAP – Dominic Lau


Gerakan optimis mampu saingi DAP – Dominic Lau
DOMINIC LAU
Oleh MUHAMAD AIDIEL ASYRAAF ZABIDI
2 April 2024, 10:54 am

KUALA LUMPUR: Raih peratusan undi yang tinggi daripada kaum Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) tidak mustahil.

Demikian keyakinan disuarakan oleh Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau yang berkata, walaupun peratusan kaum Melayu meliputi 46 peratus, parti itu yakin akan memberi saingan kepada calon daripada parti lain.

“Kami kaji sentimen di sana dan calon yang berpotensi tinggi akan bertanding di Kuala Kubu Bharu nanti.

“Kita juga inginkan sokongan dan undian daripada kaum minoriti seperti India dan Orang Asli. Paling mustahil dapatkan undian daripada Melayu,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), semalam.

Bagaimanapun, Dominic berkata, Gerakan akan menyokong mana-mana calon yang diputuskan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana katanya, Pas dan Bersatu mempunyai pendapat masing-masing siapa yang sepatutnya mewakili jentera pembangkang pada PRK berkenaan.


Dalam pada itu, beliau berkata, parti komponen itu diketuai oleh Datuk Seri Azmin Ali yang juga Pengarah Pilihan Raya Selangor.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu sokong berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong akibat kanser pada 21 Mac.

Beliau yang berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak 2013 itu menewaskan calon PN, Teoh Kien Heong dengan majoriti 4,119 undi

Dominic berharap terus mendapat sokongan masyarakat Orang Asli dan India di Kuala Kubu Bharu meskipun dua etnik itu merupakan minoriti di sana.

“Dengan peratusan masyarakat Orang Asli lima peratus dan India 18 peratus, kami percaya mereka penentu utama dalam PRK tersebut,” katanya. –UTUSAN

Ulasan