Gunung Ruang meletus, 11,000 penduduk dipindah



Gunung Ruang meletus, 11,000 penduduk dipindah
GAMBAR yang diambil Pusat Letusan Gunung Berapi dan Tebatan Bahaya Geologi menunjukkan Gunung Ruang mengeluarkan lava panas dan asap di Kepulauan Sangihe seperti yang dilihat dari Sitaro, Sulawesi Utara, kelmarin. – AFP
Oleh MEDIA MULIA
19 April 2024, 8:00 am

MANADO: Penyelamat Indonesia bertungkus-lumus memin­dahkan 11,000 penduduk sele­pas gunung berapi, Gunung Ruang di sini, meletus seba­nyak lima kali, memaksa pihak berkuasa menutup lapangan ter­bang berhampiran.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran mengenai serpihan yang jatuh yang boleh menyebabkan tsunami.

Kawah Gunung Ruang keli­hatan mengeluarkan api dan me­­letus empat kali kelmarin me­maksa pihak berkuasa menaikkan tahap berjaga-jaga ke tahap tertinggi dalam sistem empat peringkat.

Sementara itu, keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kelam-kabut selepas syarikat penerbangan membatalkan perjalanan ke Sabah dan Sarawak semalam.

Ia mengakibatkan lebih 7,000 penumpang terkandas di KLIA selepas Malaysia Airlines (MAS) membatalkan 11 pener­ba­ngan ke Sabah dan lapan pe­nerbangan ke Sarawak, Air­Asia batalkan 16 penerbangan manakala Batik Air memba­talkan 12 penerbangan masing-masing bagi mengelak risiko keselamatan pesawat di ruang udara.

Difahamkan, antara penerbangan Air Asia yang terjejas melibatkan laluan ke Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan, La­buan, Miri, Sibu, Bintulu, Kuching serta Brunei yang dijangka dibatalkan sehingga pukul 8 pagi hari ini.


Gunung berapi di wilayah paling luar Indonesia itu masih mengeluarkan asap pada pagi semalam menyebabkan pihak berkuasa menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di bandar Manado yang terletak lebih 100 kilometer dari gunung berapi itu, selama 24 jam sehingga petang semalam.

Ketua Pejabat Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Wilayah Manado, Ambar Suryoko dalam satu kenyataan memberitahu, landasan lapangan terbang ditutup kerana penyebaran abu gunung berapi yang boleh membahayakan keselamatan penerbangan.

Lapangan terbang ini menjadi tuan rumah syarikat pe­nerbangan yang terbang ke Singapura dan bandar-bandar di Korea Selatan dan China.

Pihak berkuasa berkata, mereka bergegas untuk memindahkan 11,000 penduduk dari kawasan berhampiran termasuk pulau terpencil Tagulandang yang menempatkan kira-kira 20,000 orang.

Menurut pegawai, beberapa penduduk sudah cuba melarikan diri dalam keadaan panik.

Pegawai dari agensi mencari dan menyelamat tempatan, Jandry Paendong berkata, malam kelmarin, orang ramai berpindah sendiri tetapi tiada arah tuju akibat letusan gunung berapi.

Katanya, bahan-bahan be­rupa batu-batu kecil jatuh berserakan, jadi, orang ramai berselerak mencari laluan untuk berpindah.

Beliau berkata, seramai 20 kakitangan sedang membantu memindahkan penduduk di sepanjang pantai berhampiran gunung berapi dengan bot getah.Penumpang penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang terkandas ekoran pembatalan penerbangan di KLIA, Sepang akibat letusan Gurung Ruang, Indonesia semalam. – UTUSAN/ FAIZ ALIF ZUBIR

Jandry turut meminta lebih banyak bot dan peralatan supaya pasukannya boleh menjalankan pemindahan untuk orang di pantai atau berhampiran pantai menghadap gunung berapi.

Pelancong dan penduduk diberi amaran untuk kekal di luar zon pengecualian sepanjang enam kilometer.

Lebih 800 orang pada mulanya dibawa ke tempat selamat dari Ruang ke pulau Tagulandang berhampiran selepas letusan pertama pada petang Selasa sebelum empat lagi letusan pada Rabu.

Pihak berkuasa juga memberi amaran tentang kemungkinan tsunami akibat letusan itu.

“Masyarakat di Pulau Tagulandang, khususnya yang tinggal berhampiran pantai, perlu berwaspada terhadap potensi letupan batu pijar, pelepasan awan panas dan tsunami akibat runtuhan badan gunung berapi ke laut,” Hendra Gunawan, Ketua Agensi Gunung Berapi Indonesia berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Kebimbangan pihak berkuasa ditambah lagi dengan pe­ngalaman terdahulu.

Pada 2018, kawah Gunung Anak Krakatau antara Pulau Jawa dan Sumatera sebahagiannya runtuh apabila letusan besar menyebabkan ketulan besar gunung berapi itu meluncur ke lautan, mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 400 orang dan mence­derakan ribuan.

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, me­ngalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap disebabkan kedudukannya dalam Lingkaran Api Pasifik, lengkok di mana plat tektonik bertembung yang terbentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik. – UTUSAN

Ulasan