Istighfar sebab diturunkan hujan


Istighfar sebab diturunkan hujan
April 21, 2024


DIRIWAYATKAN dari Al-Sya’bi, dia berkata, “Umar bin Al Khattab RA suatu masa meminta diturunkan hujan, namun dia tidak membaca lebih dari sekadar istighfar sehingga dia kembali. Lalu ada yang berkata kepadanya, “Kami tidak melihatmu meminta hujan.” Saidina Umar pun mengatakan, “Aku sudah meminta diturunkan hujan dari langit”.


Kemudian Umar membaca ayat, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat” (Nuh: 10-11)

Umar lantas berkata, “Wahai kaumku, mintalah ampunan (istighfar) daripada Rabb kalian. Kemudian bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia akan menurunkan pada kalian hujan lebat dari langit.” (Riwayat Al Baihaqi 3/352)

Para ulama tafsir, antaranya Imam Ibnu Katsir ketika menafsirkan ayat Allah;

“Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan Dia akan membanyakkanmu dengan harta dan anak-anak, dan menjadikan bagimu kebun-kebun dan menjadikan bagimu sungai-sungai.” (Nuh: 10-12)

Beliau mengatakan bahawa di dalam ayat ini Allah memerintahkan manusia supaya kembali kepada Allah dan tinggalkanlah apa yang selama ini mereka lakukan serta bertaubatlah kepada-Nya dengan segera, kerana sesungguhnya barang siapa bertaubat kepada-Nya, pasti Allah akan menerimanya, walau sebanyak mana dan sebesar apa pun kekufuran dan kemusyrikan yang telah dikerjakannya.

Maksudnya, Allah akan menurunkan hujan lebat dan terus menerus dengan sebab istighfar tersebut. Oleh kerana itu juga, disunnahkan untuk membaca surah Nuh ini di dalam Solat Istisqa’ (solat meminta hujan).

Cuaca panas, bumi agak kering pada waktu ini negeri di sebelah Pantai Timur. Selain kita mengerjakan Solat Istisqa’ saya menyeru kepada diri saya dan kita semua marilah sama-sama melazimi diri beristighfar sentiasa, mudah-mudahan Allah akan membasahi negeri kita ini dengan hujan rahmat-Nya.

DATUK DR MARZUK SHAARY
Pengerusi
Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia)
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
12 Syawal 1445H | 21 April 2024 – HARAKAHDAILY 21/4/2024

Ulasan