Kanak-kanak Gaza akan terus belajar dalam khemah





Kanak-kanak Gaza akan terus belajar dalam khemah
GAMBAR menunjukkan keadaan pintu masuk ke Sekolah Al-Quran Malaysia di utara kem Kem Nuseirat, Gaza. -AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
19 April 2024, 9:00 am

BANDAR GAZA: Dalam tempoh enam bulan perang genosid di Gaza, Israel juga secara sistematik menyasarkan sekolah.

Menurut angka terkini yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Palestin, sekurang-kurangnya 378 sekolah musnah dan rosak di Gaza.

Selain itu, sekurang-kurang­nya 4,327 pelajar, 231 guru dan 94 profesor terbunuh.

Penduduk, Fatima Muhammad memberitahu The Palestine Chronicle bahawa dia terkejut apabila mengetahui bahawa Israel memusnahkan sepenuhnya sekolah anak-anaknya.

“Anak-anak saya, Muhammad dan Ahmad pernah belajar di Sekolah Al-Quran Malaysia yang terletak di utara kem Nuseirat.

“Tetapi Israel mengebomnya dan memusnahkannya menyebabkan anak-anak saya tidak mendapat tempat belajar.


“Anak-anak saya sangat me­nyukai sekolah mereka dan mereka trauma apabila mengetahui apa yang berlaku,” kata Fatima.

Dia berkata, agak teragak-agak sebelum memaklumkan berita itu kepada kedua-dua anaknya, tetapi dia juga mahu anak-anaknya memahami jenayah pendudukan dan me­nyedari perang yang sedang dilancarkan terhadap segala-galanya dan semua orang di Gaza.

Seorang lagi penduduk, Mohammed Abu al-Rous yang be­kerja sebagai guru di Sekolah Al-Quran Malaysia berkongsi kisah kesedihan yang sama.

“Sekolah itu terletak di pinggir kem Nuseirat dan tidak ada bangunan di sekelilingnya, jadi, tidak ada justifikasi untuk pengeboman itu.

“Sebenarnya, pendudukan itu bertujuan untuk memusnahkan semua aspek kehidupan di Gaza untuk menghukum penduduk­nya kerana keengganan mereka untuk berhijrah,” tambah Mohammed Abu.

Dia menambah, dengan mengebom sekolah, Israel cuba untuk melucutkan hak generasi akan datang untuk pendidikan, tetapi ia tidak akan berjaya.

“Kami akan mengajar anak-anak kami di khemah, di bawah matahari dan di mana-mana sahaja.

“Kami berazam untuk melahirkan generasi Palestin yang berpendidikan dan berpenge­tahuan, mampu menentang pendudukan dan mendedahkan jenayahnya di semua forum antarabangsa,” ujarnya.

Ulasan