Kenyataan pro-Israel Dr Bruce Gilley: UM mohon maaf


KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) memohon maaf dan meluahkan rasa kesal dengan kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh seorang profesor Pro-Israel, Dr. Bruce Gilley.

Pusat Komunikasi Korporatnya (CCC) berkata, UM mengambil maklum saranan Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi dengan mengambil tindakan serta-merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadualkan dihadiri oleh penceramah tersebut.


“UM berasa kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial,” ujar kenyataan itu, pada hari ni.

Menurut kenyataan itu, laporan lengkap berhubung isu tersebut sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Tambah kenyataan tersebut, pihak UM memandang serius mengenai perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak serta memastikan perkara sebegini tidak berulang.

“Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial,

“Dalam pada itu, pihak UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan menggembara ke Malaysia.

“Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia,” tegas kenyataan itu.

Sehubungan itu, CCC UM menyatakan pihaknya akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang apa jua unsur yang berkait dengan Israel.

“Kami menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

Ulasan