‘Masalahnya anda cepat ‘koyak’, mudah melenting’


‘Masalahnya anda cepat ‘koyak’, mudah melenting’

Penyokong PH 'terciduk' sendiri isu status pendidikan calon PRK KKB
April 29, 2024

KUALA LUMPUR: Cepat ‘koyak’ dan mudah melenting dilihat sudah menjadi sifat yang begitu sebati dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) tatkala sesuatu isu dihadapkan kepada mereka.

Mereka akan ‘terciduk’ sendiri apabila lawan yang diremehkan atau cuba dipalit persepsi buruk secara semberono dapat mematahkan dakwaan dilemparkan dengan memberi reaksi balas tenang, matang dan berfakta.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketika sebagai pembangkang, PH menjulang kebebasan bersuara, tetapi hari ini merekalah yang cepat mendakwa sekiranya ada kritikan.

“Dalam isu kelulusan calon PRK (N.06 DUN) KKB (Kuala Kubu Bharu), mereka yang mula-mula sekali menyerang isu kelulusan Master (Sarjana) calon PN (PERIKATAN NASIONAL – Khairul Azhari Saut), kelmarin.

“Apabila kita pula yang minta latar belakang pendidikan rendah dan menengah calon PH (Pang Sock Tao), mereka pula yang melenting, kononnya rasis dan sebagainya. Mereka yang mulakan, kita menyahut, dikatakan rasis?!

“Nah sekarang terbukti, calon mereka di peringkat pendidikan rendah dan menengah bukannya di sekolah kebangsaan. Tiada pula pengalaman bekerja dalam perkhidmatan awam dan berinteraksi dengan masyarakat.

“Daripada awal hanya bekerja dengan parti dan Menteri daripada partinya sendiri. Terima kasih atas jawapan. Rakyat Kuala Kubu Bharu sudah boleh buat pilihan yang bijak,” ujar beliau berjaya mencapai objektif pertanyaan balas dilontarkannya.

Ahmad Fadhli semalam, mencabar calon PH itu untuk menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengah yang pernah diterimanya, memandangkan tiada maklumat itu di poster profil Pang.

Calon daripada DAP itu hari ini tampil mengemukakan slip keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang menunjukkan beliau mendapat pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) On Pong Ampang Hulu Langat dan Sekolah Menengah Chung Hua di Port Dickson.

Terdahulu kelmarin, penyokong dan pemimpin pakatan tersebut membangkitkan pertikaian yang berunsur serangan peribadi kepada calon PN mengenai status kelulusan akademik diterima Khairul Azhari.

Beliau bagaimanapun tenang tidak melayan provokasi itu sebaliknya menjelaskan mahu memberi tumpuan kepada kempen sebelum bukti berkenaan ditularkan, malah disahkan oleh institusi berkenaan. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

Ulasan