MB tenang hadapi dakwaan terhadap Perlis





MB tenang hadapi dakwaan terhadap Perlis
April 29, 2024

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli kekal dengan sikap tenang menghadapi situasi genting dan mencabar atas dakwaan dihadapkan kepada pihaknya.


Sikap itu secara tidak langsung mematikan langkah lawan untuk menjadikan isu penahanan anaknya serta beberapa individu lain oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai senjata politik.

Malah Mohd Shukri dalam ucapan pergulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, baru-baru ini tampil membuat penjelasan terbuka mengenai hal berkenaan.

“Kalau anak saya bersalah, hukumlah dia. Saya dah bagi pendidikan dan ilmu kat dia. Saya tiada gundah gulana dan setakat ini masih mampu bertahan.

“Doakan yang terbaik untuk kita semua dan saya tiada prasangka kepada SPRM sehinggalah mereka selesaikan siasatan,” katanya.

Sikap terbuka itu memperlihatkan komitmen kepada integriti, sebagai asas penting dalam pemerintahan, malah isu yang membuatkan suhu politik di negeri ini panas seketika, telah dapat diredakan.

Kebiasaannya, apabila berdepan situasi seperti itu, kebanyakan pemimpin memilih mengunci mulut atau menyalahkan pihak lawan atau mendakwa telah menjadi mangsa politik.

Namun, pendekatan ditunjukkan Menteri Besar itu adalah contoh yang mampu menarik perhatian dan sudah tentu ia cukup berbeza jika dibandingkan pemimpin-pemimpin politik lain.

“Setiap tindakan yang mencurigakan perlu disiasat dengan teliti untuk memastikan integriti sistem pentadbiran dapat dipertahankan.

“Bagi saya, kita terbuka, dalam ucapan sidang DUN masa awal dulu saya kata pejabat saya 25 jam setiap hari dibuka jika ada penyelewengan dan unsur tidak baik.

“Tidak ada sesiapa yang kebal dari undang-undang, termasuk saya. Jika ada salah guna kuasa kena ambik tindakan dan salah seorang yang diambil ialah anak saya,” kata beliau.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyokong sikap itu serta mengakui kejujuran Mohd Shukri dalam hal berkaitan dengan harta awam.

Pemimpin PAS Pusat seperti Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga melihat perkara itu sebagai lumrah dalam menerajui pemerintahan.

Kata Takiyuddin, Arwah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah disiasat oleh SPRM kononnya ditaja oleh seorang peniaga untuk melaksanakan umrah.

Minggu lalu, Perlis menjadi tumpuan media berikutan penahanan bagi membantu siasatan berhubung kes membuat tuntutan palsu melibat sejumlah besar wang.

Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tiga hari ditahan reman. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

share & sebarkan:

Ulasan