Mercun, bunga api beri kesan buruk kepada alam sekitar





Mercun, bunga api beri kesan buruk kepada alam sekitar
HADKAN penggunaan bunga api bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh Meja Rencana
15 April 2024, 9:00 am

SAUDARA PENGARANG,

SEMASA pelbagai perayaan yang disambut oleh pelbagai kaum di negara ini, haiwanlah yang paling terjejas oleh bunyi letupan bunga api dan mercun. Banyak haiwan peliharaan akhirnya hilang atau menjadi mangsa kemalangan jalan raya.

Pertubuhan penyelamat hidupan liar mendakwa bunga api yang kuat dan mengejutkan boleh menyebabkan tekanan yang tinggi kepada burung dan haiwan lain, menyebabkan ia meninggalkan anak-anaknya. Ramai yang mungkin tidak tahu bagaimana untuk kembali ke sarangnya.

Adalah penting untuk mempertimbang­kan bagaimana bunga api juga boleh menjejaskan kesihatan manusia serta kualiti udara. Seperti mana artikel yang diterbitkan oleh Persatuan Pernafasan Eropah (ERS), sulfur dan karbon adalah komponen semua piroteknik dan diperlukan untuk pembakarannya.

Lebih-lebih lagi, beberapa bahan ditambah kepada bunga api semasa pembuatannya seperti kalium perklorat, arsenik, mangan, natrium oksalat, aluminium, serbuk habuk besi dan barium nitrat yang berfungsi sebagai warna tambahan, pengoksida dan penstabil.

Sulfur dioksida, karbon dioksida, karbon monoksida, bahan zarah, bersama-sama dengan pelbagai garam logam seperti kadmium, mangan dan aluminium adalah antara bahan pencemar udara yang terhasil apabila bunga api dinyalakan.


Konsensus dalam kalangan pakar adalah bahawa pencemaran udara bandar yang disebabkan oleh bunga api memberi kesan negatif yang ketara terhadap kualiti udara. Dr. S. Geminn Louis Apostol, pakar kesihatan alam sekitar di Sekolah Perubatan dan Kesihatan Awam Ateneo menasihatkan agar tidak menggunakan mercun dan bunga api secara berlebihan kerana sumbangannya kepada bahan pencemar udara.

Bahan pencemar ini boleh memburukkan atau bahkan menyebabkan keadaan pernafasan seperti sinusitis, bronkitis, asma, laringitis, radang paru-paru dan rinitis, terutamanya bagi individu yang menghidap asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).

Penduduk yang terdedah adalah seperti mereka yang mempunyai keadaan perubatan yang sedia ada, warga tua dan kanak-kanak amat berisiko.

Antara bahan pencemar yang dikeluarkan, karbon dioksida dan nitrogen oksida adalah gas rumah hijau yang ketara yang menyumbang kepada perubahan iklim dan pemanasan global. Oleh sebab itu, mengehadkan penggunaan bunga api bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti udara tetapi juga mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.

Pelaksanaan strategi untuk mengawal penggunaan bunga api bertujuan untuk meningkatkan kualiti udara berpotensi untuk mengurangkan kesan negatifnya terhadap kesihatan pernafasan manusia bagi individu yang terdedah kepadanya.

Selama bertahun-tahun, berlaku perdebatan sengit antara mereka yang begitu seronok bermain mercun dan mereka yang menentang pertunjukan bunga api. CAP melahirkan kebimbangan mengenai isu mercun dan bunga api yang menyalahi undang-undang selama ini dan dihalalkan pada tahun lalu.

Manusia, haiwan dan alam sekitar semuanya akan mendapat manfaat daripada ketiadaan mercun dan bunga api yang beracun dan mencemarkan itu.

Memandangkan wang itu lebih baik digunakan bagi keperluan asas harian seperti makanan, orang ramai perlu berhati-hati dalam menimbang pilihan mereka sebelum membelanjakannya untuk piroteknik.

Memahami kesannya adalah perlu dalam semua aspek, termasuk aspek ekonomi, kebajikan manusia dan haiwan. Lebih banyak pemikiran lebih lanjut perlu diberikan mengenai perkara ini. – UTUSAN

Mohideen Abdul Kader
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Ulasan