Nahas helikopter TLDM: PAS ucap takziah buat keluarga mangsa





Nahas helikopter TLDM: PAS ucap takziah buat keluarga mangsa
April 23, 2024

Helikopter yang terhempas ketika latihan di Pangkalan TLDM Lumut.

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga 10 mangsa kemalangan helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas selepas berlanggar di udara sebelum terhempas ke tanah ketika Latihan Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM Ke-90.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, hari ini disifatkan sebagai hari yang mendukacitakan bukan sahaja kepada keluarga mangsa yang terlibat, bahkan juga kepada seluruh anggota TLDM dan rakyat Malaysia umumnya.

Menurutnya, berita kemalangan yang mendukacitakan seluruh rakyat Malaysia ini telah disahkan setelah pihak Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mendapat panggilan kejadian pada jam 9.50 pagi sebelum dua jentera penyelamat dikejarkan ke lokasi.

“Siasatan segera punca nahas perlu dilakukan bagi mengenalpasti faktor sebenar kemalangan agar tindakan susulan yang bersesuaian dapat diambil. Semoga semua anggota keluarga mangsa yang terlibat dapat bersabar dengan ujian yang tidak disangka-sangka ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, TLDM dalam kenyataan media berkata, pihaknya mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW 139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM telah terhempas ketika sesi raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.

Tambah kenyataan itu, insiden berkenaan melibatkan seramai 10 mangsa masing-masing tujuh kru helikopter HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM; dan kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM untk proses pengecaman.

“TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. TLDM juga memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.

Video yang tular di media sosial, memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-duanya kelihatan terjunam ke darat. Kedua-dua helikopter dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat di ruang udara. – HARAKAHDAILY 23/4/20024

Ulasan