Pelajar universiti Amerika julang hak asasi manusia Palestin





Pelajar universiti Amerika julang hak asasi manusia Palestin
April 30, 2024

Ribuan pelajar universiti menyertai protes pro-Palestin di seluruh Amerika Syarikat menyeru gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza di tengah-tengah tindakan melampau pasukan polis yang telah menahan sebahagian daripada mereka. (FOTO: MNA)

NEW YORK CITY: Hak asasi manusia dijulang tinggi dalam gelombang protes pro-Palestin yang telah merebak di universiti-universiti seluruh Amerika Syarikat ketika pelajar berkumpul di kampus-kampus seluruh negara itu, berdepan dengan polis, dalam pertarungan yang semakin meluas untuk menggesa menamatkan perang genosid Israel ke atas Gaza.

Kementerian Kesihatan Gaza sebelum ini berkata, operasi ketenteraan Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 34,183 orang awam selepas lebih 200 hari perang genosid itu tercetus sejak 17 Oktober 2023.


Walaupun perang di Semenanjung Gaza telah berlangsung selama lebih tujuh bulan, dunia termasuk pelajar di universiti-universiti AS tanpa mengira bangsa dan agama telah menunjukkan solidariti mereka terhadap negara Palestin itu.

Ratusan pelajar universiti menyertai perarakan pro-Palestin di seluruh AS menyeru gencatan senjata segera di Gaza di tengah-tengah tindakan melampau pasukan polis.

Menurut laporan Guardian, pelajar mendirikan khemah tanda protes di Universiti Columbia meminta ia menghentikan jalinan kerjasama daripada pengeluar senjata yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Protes itu telah membawa kepada penggantungan besar-besaran dan penahanan ratusan pelajar universiti berkenaan.Gelombang protes pro-Palestin yang telah merebak di universiti-universiti seluruh Amerika Syarikat demi perjuangan hak asasi rakyat Palestin . (FOTO: MNA)

“Terdapat lebih 800 penangkapan penunjuk perasaan di kampus seluruh AS sejak 18 April 2024, apabila Universiti Columbia meminta Jabatan Polis New York ‘membersihkan’ perkhemahan protes di sana,” lapor akhbar New York Times.

Lebih daripada 200 penunjuk perasaan telah ditangkap pada hari Sabtu lalu di Universiti Northeastern, Universiti Negeri Arizona, Universiti Indiana, dan Universiti Washington di St. Louis, ketika pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh AS bergelut untuk memadamkan demonstrasi dan perkhemahan pro-Palestin yang semakin meningkat di kampus-kampus.

“Di Universiti Washington, St. Louis, 100 tangkapan telah dibuat dan kampus itu dikunci pada petang Sabtu lalu,” ujar satu kenyataan universiti berkenaan.

“Jill Stein, calon Parti Hijau untuk pilihan raya presiden 2024, adalah antara yang ditahan, bersama pengurus kempennya dan seorang lagi kakitangan,” kata jurucakap kempen itu.Golongan muda dan terpelajar di Amerika Syarikat sudah muak dengan sikap pemerintah negara mereka yang jelas dikuasai Zionis Israel. (FOTO: MNA)

Pada awal hari itu, di Timur Laut Boston, penunjuk perasaan telah menubuhkan perkhemahan protes di Centennial Common kampus pada minggu ini yang menarik lebih daripada 100 penyokong.

Pentadbiran universiti itu telah meminta penunjuk perasaan untuk beredar, tetapi ramai pelajar tidak mengendahkannya.

Sekitar subuh pada Sabtu, pegawai Polis Negeri Massachusetts tiba di perkhemahan dan mula menangkap penunjuk perasaan, meletakkan mereka dalam gari berikat zip dan meruntuhkan beberapa khemah; dan 102 penunjuk perasaan telah ditahan.

Apa yang bermula di kampus Columbia telah bertukar menjadi pertikaian di seluruh negara antara pelajar dan pentadbir berhubung protes pro-Palestin dan sekatan ke atas kebebasan bersuara.

Dalam 10 hari yang lalu, beratus-ratus pelajar telah ditangkap, digantung pelajaran, dimasukkan ke dalam penilaian, dan dalam kes yang jarang berlaku, dibuang daripada kolej, termasuk di Universiti Yale, Universiti California Selatan, Universiti Vanderbilt dan Universiti Minnesota, lapor pula Al Jazeera.Kanak-kanak Palestin di kem pelarian Shaboura di Rafah, Semenanjung Gaza memegang sepanduk dengan mesej tanda solidariti buat pelajar-pelajar Universiti Columbia, Amerika Syarikat yang mengadakan protes pro-Palestin. (FOTO: MNA)

Beberapa universiti terpaksa membatalkan majlis graduasi, manakala yang lain telah melihat bangunan mereka diduduki oleh penunjuk perasaan.

Berpuluh-puluh pelajar Palestin mengadakan persembahan solidariti dalam demonstrasi di selatan Gaza pada Ahad untuk melahirkan rasa terima kasih atas sokongan yang dilihat di kampus kolej AS dalam beberapa minggu kebelakangan ini, lapor CNN.

Begitu rakyat di Yaman turut berkumpul untuk menyatakan solidariti mereka terhadap keberanian dan keprihatinan pelajar-pelajar universiti seluruh AS itu dalam menyokong hak asasi rakyat Palestin yang ditindas Zionis Israel.

Sementara, video dari kem pelarian Shaboura di Rafah menunjukkan kanak-kanak memegang sepanduk dengan mesej yang berbunyi: “Pelajar-pelajar Universiti Columbia, teruskan berdiri di sisi kami,” dan “Mencabuli hak kami untuk pendidikan dan kehidupan adalah jenayah perang.” – Agensi – HARAKAHDAILY 30/4/2024

Ulasan