Pendaftaran automatik PADU langgar hak privasi individu

Pendaftaran automatik PADU langgar hak privasi individu
April 4, 2024

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR: Menggunakan maklumat yang diberikan kepada agensi kerajaan lain untuk pangkalan data Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) tanpa kebenaran jelas pemilik, adalah pelanggaran privasi data peribadi.

Aktivis politik, Shahir Adnan berkata, isu tersebut perlu diperjelas oleh pihak kierajaan kerana ia adalah satu perlanggaran hak peribadi yang amat serius.

Menurutnya, bertambah parah apabila kerajaan bakal menggunakan data yang dikumpul daripada 217 jabatan dan agensi Kerajaan.

“Kerajaan mengumumkan ia adalah untuk program subsidi bersasar. Namun kenapa golongan M40 dan T20 perlu didaftarkan secara automatik? Adakah perkara ini turut dipandang sambil lewa oleh pihak kerajaan?,” soal beliau dalam satu kenyataan.

Shahir menyatakan, secara idealnya PADU merupakan pangkalan data utama negara yang komprehensif ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat dengan menggabungkan semua jenis data rakyat Malaysia.

“Namun, PADU dilihat sangat tergesa-gesa dan huru-hara. Undang-undang diperlukan untuk menjamin keselamatan data pengguna dan perkongsian data pengguna yang masih belum digubal lagi.

“Akibat masih tidak meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Personal Data Protection 2010 atau PDP), yang mana mengecualikan kerajaan daripada sebarang liabiliti jika data bocor, maka kerajaan tidak perlu bertanggungjawab jika data kita semua dicuri.

“Akta Omnibus juga belum digubal dan dilulus dalam parlimen. Tanpa Akta Omnibus menjadi undang-undang, agensi-agensi kerajaan sebenarnya terhalang daripada berkongsi data antara satu sama lain termasuk berkongsi data dengan database PADU.

“Namun, semua ini dipandang remeh dengan pendaftaran PADU secara automatik, walaupun dikatakan hanya menggunakan data asas dari agensi kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

Ulasan