Pengusaha kem PLKN muflis
Oleh Nor Azizah Mokhtar, Ercy Gracella Ajos, Alias Abd Rani dan Ahmad Rabiul Zulkifli - April 28, 2024 @ 10:23am
Keadaan bahagian bangunan stor logistik Kem PLKN Hijrah Penor, Kuantan.
KUALA LUMPUR: Sebahagian pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini dibebani hutang jutaan ringgit, malah ada sudah diisytihar muflis kerana tidak mampu membayar pinjaman bank yang dibuat untuk projek membina, tambah baik dan naik taraf kem.
Untuk rekod, terdapat 81 kem PLKN di seluruh negara dengan kos keseluruhan pembinaan dianggar mencecah RM1 bilion. Setiap pengusaha mengeluarkan antara RM12 hingga RM19 juta untuk membina dan mengoperasikan kem bagi menjayakan program bermula 2004 itu yang kemudian dimansuhkan pada 2018.
Rata-rata mereka membuat pinjaman bank untuk membeli atau menyewa tanah, membina bangunan dan melengkapkannya dengan segala infrastruktur bagi memenuhi syarat ditetapkan kerajaan. Kini, ramai menanggung hutang bank, tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan pelbagai kerugian.
Presiden Persatuan Kebajikan Bekas-bekas Pengusaha Kem PLKN (PKBPPKN), Mohd Rawi Mohd Arof, berkata pada peringkat awal program itu, terdapat 24 kem beroperasi sebelum meningkat kepada 40 dan bertambah lagi selepas itu dengan setiap kem boleh menampung antara 400 hingga 450 pelatih.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Program latihan selama tiga bulan berkenaan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti untuk belia, dianggar menelan purata perbelanjaan RM600 juta setahun. Ia kemudian dihentikan pada 2015 susulan rasionalisasi perbelanjaan oleh kerajaan.
PLKN 3.0 bakal diperkenal
PLKN diperkenalkan semula pada 2016 dengan jumlah pelatih hanya 20,000, tetapi dimansuhkan pada Ogos 2018. November lalu, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan PLKN 3.0 dengan latihan dijalankan di 13 kem Askar Wataniah (AW), bukan di kem PLKN sedia ada.
Memperincikan operasi awal kem PLKN, Mohd Rawi menjelaskan, pengusaha diberikan kontrak selama lima tahun sehingga 2008 dan kemudian disambung dua tahun lagi dari 2009 sebelum ditambah tiga tahun selepas itu sehingga 2013.
"Selepas 2008 semua kem diwajibkan mematuhi Garis Panduan Minima (SOC) dan pengusaha yang memenuhi ketetapan itu disambung kontrak tiga tahun untuk 2014 hingga 2016 dengan tambahan kontrak dua tahun seterusnya sehingga 2018," katanya kepada BH.
Beliau menjelaskan, pada awal operasi, bangunan dalam kem PLKN dibenarkan dibina separa kekal, namun menerusi SOC 2008, pengusaha diwajibkan membina bangunan kekal dan selepas SOC 2008 Pindaan 2013, terdapat beberapa penambahbaikan perlu dipatuhi.
"Kos membina, naik taraf dan tambah baik perlu ditanggung pengusaha. Boleh dikatakan setiap pengusaha membelanjakan antara RM12 juta hingga RM19 juta untuk kem masing-masing. Ramai buat pinjaman bank untuk melakukan penambahbaikan yang disyaratkan, malangnya PLKN ditangguhkan pada 2015.
"Bagaimanapun, melalui rundingan, kerajaan ketika itu bersetuju membayar RM70,000 sebulan untuk memastikan pengusaha dapat menampung kos pengurusan sepanjang setahun PLKN ditangguhkan pada 2015 itu," tambahnya.
Kem PLKN Padang Kachong Marang kini diubah suai menjadi Penjara Satelit Marang. - Foto NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Keadaan bahagian bangunan bilik kuliah di Kem PLKN Hijrah Penor yang terbiar.
Walaupun disambung semula pada 2016 dan dikenali sebagai PLKN 2.0, katanya, pengusaha masih terbeban kerana program edisi itu hanya disertai 20,000 pelatih yang menyaksikan setiap kem diisi 100 hingga 150 pelatih, berbanding purata 80,000 pelatih dalam PLKN asal.
"PLKN 2.0 juga tidak wajib, tempoh latihan pula hanya 65 hari untuk satu siri yang diadakan sekali setahun berbanding 84 hari ketika PLKN pertama. Kerajaan bagaimanapun bersetuju membayar sewa bulanan bagi penggunaan kem semasa PLKN 2.0, bukan lagi bayaran mengikut jumlah pelatih seperti PLKN 1.0.
"Sewaan bulanan dibayar antara RM93,000 hingga RM322,000, bergantung pada lokasi dan gred kem yang ditentukan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). Kontrak kemudian disambung empat tahun sehingga 2020 dan setiap kem diwajibkan mematuhi piawaian SOC 2008 Pindaan 2013.
"Ramai pengusaha berusaha memenuhi piawaian disyaratkan. Sekali lagi ada pengusaha keluarkan modal besar untuk tambah baik kemudahan kem. Bagaimanapun, PLKN dimansuhkan pada Ogos 2018, maka kontrak kepada pengusaha juga dihentikan," katanya.
Kerajaan dituntut bayar pampasan RM224 juta
Kerajaan dituntut membayar pampasan RM224 juta kepada pengusaha 57 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kerugian dan menanggung beban hutang selepas program itu dimansuhkan pada 2018.
Presiden Persatuan Kebajikan Bekas-bekas Pengusaha Kem PLKN, Mohd Rawi Mohd Arof, berkata tuntutan itu membabitkan bayaran sewaan selama 27 bulan bagi siri program yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh kontrak.
Beliau berkata, ketika ini 33 daripada 57 pengusaha terbabit nekad mengambil tindakan mahkamah untuk tuntutan pampasan, manakala selebihnya tiada kemampuan berbuat demikian atas faktor kewangan, isu dokumen tidak lengkap selain ada yang sudah meninggal dunia.
"Perkara ini kita bincangkan pada mesyuarat persatuan Julai lalu selepas pelbagai usaha rundingan dengan kerajaan gagal mencapai penyelesaian. Kumpulan pertama sudah selesai memfailkan tuntutan melalui firma guaman yang dilantik baru-baru ini dan tuntutan selebihnya akan difailkan dalam masa terdekat.
"Jumlah tuntutan itu adalah baki daripada kontrak empat tahun atau 48 bulan yang diberikan kerajaan kepada pengusaha bagi tempoh 2017 hingga 2020 sebelum PLKN dimansuhkan pada Ogos 2018. Kontrak sudah berjalan 21 bulan, maka kita tuntut bayaran sewa untuk baki 27 bulan dalam tempoh kontrak," katanya.
Atap bangunan tercabut serta cat pada dinding bangunan balai pengawal sudah tertanggal di Kem PLKN Hijrah Penor.
Katanya, jumlah RM224 juta itu tidak dapat menampung kerugian ditanggung kumpulan pengusaha kem terbabit, namun sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban mereka.
Beliau berkata, daripada 81 kem PLKN yang beroperasi sebelum program itu dibatalkan pada 2018, tujuh kem di Sabah dan Sarawak diberikan kontrak menempatkan Rejimen Sempadan (RS) di bawah Tentera Darat Malaysia.
"Sebanyak 13 lagi kem PLKN di seluruh negara pula diberi kontrak sebagai penjara satelit dan Depoh Tahanan Sementara Imigresen, manakala empat lagi kem boleh diandaikan sudah diabaikan pengusahanya, termasuk dijual kepada pihak lain," katanya.
Tuntutan jalan terakhir
Katanya, tindakan undang-undang menuntut pampasan itu adalah jalan terakhir selepas rundingan dibuat mereka dengan kerajaan berikutan pemansuhan PLKN pada 2018, gagal mencapai penyelesaian.
"Rundingan juga dibuat dengan Perdana Menteri ketika kerajaan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, kemudiannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan selepas itu, Datuk Seri Ismail Sabri. Isu hampir ternoktah pada hujung 2022.
"Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengangkat isu ini sehingga Kementerian Kewangan (MOF) untuk bayaran pampasan diberi kepada pengusaha kem dalam bentuk 'ex-gratia'," katanya namun tidak mendedahkan nilai pampasan yang dirundingkan.
Mohd Rawi berkata, perkara itu bagaimanapun tertangguh lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dan pada Mac 2023, persatuan dimaklumkan menerusi satu surat daripada MoF bahawa permohonan bayaran 'ex-gratia' yang dipersetujui sebelum itu tidak diluluskan.
"Kami buat rayuan sekali lagi kepada kerajaan, termasuk perdana menteri. Kami juga berunding dengan wakil kerajaan pada September lalu, namun sehingga kini belum ada penyelesaian," katanya sambil menambah, jalan terakhir diputuskan adalah dengan memfailkan tuntutan mahkamah di mahkamah.
FAKTA NOMBOR
81 kem PLKN seluruh Malaysia
11 kem di Perak
9 kem di Selangor
8 kem di Kedah, Pahang, Sarawak
7 kem di Johor
6 kem di Sabah
5 kem di Negeri Sembilan, Terengganu
4 kem di Melaka, Pulau Pinang
3 kem di Kelantan, Perlis
Ulasan
Catat Ulasan