Perang Israel-Hamas masuk hari ke-200, kebimbangan berlaku serangan di Rafah
MAYAT ditemukan di Hospital Nasser di Gaza. -AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
24 April 2024, 9:22 am
GAZA: Perang Israel-Hamas memasuki hari ke-200 hari ini dan kumpulan bantuan kemanusiaan memberi amaran berhubung rancangan Israel untuk menyerang bandar Rafah di selatan Gaza.
Rafah merupakan kawasan di mana kebanyakan penduduk dan pelarian Palestin berlindung.
Kebimbangan semakin meningkat apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membuat ancaman berulang kali untuk menghantar tenteranya ke Rafah di mana 1.5 juta orang mencari perlindungan, kebanyakannya di kem sementara.
Ketua Majlis Pelarian Norway, Jan Egeland berkata, semua nampaknya sedang menghitung detik untuk berperang merentasi kem pemindahan terbesar di Rafah.
Egeland turut memberi amaran bahawa serangan darat ke atas Rafah akan menjadi keadaan apokaliptik dan malapetaka.
Israel berulang kali menyasarkan kemudahan perubatan Gaza semasa perang selain menuduh Hamas menggunakan kemudahan infrastruktur itu sebagai pusat arahan dan menahan tebusan yang diculik pada 7 Oktober lalu.
Hamas bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan.
Sejak tiga hari lalu, Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata hampir 340 mayat ditemukan di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Younis.
Tentera Israel mengatakan bahawa dakwaan mereka mengebumikan mayat Palestin adalah tidak berasas dan menafikan dakwaan bahawa mereka di sebalik pembunuhan itu.
Mereka berkata bahawa mayat yang dikebumikan oleh rakyat Palestin diperiksa oleh tentera Israel untukmencari tebusan dan kemudian kembali ke tempat mereka.
Dalam pada itu, Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk menggesa siasatan bebas dilakukan terhadap kematian di hospital Al-Shifa Nasser dan Kota Gaza.
Beliau berkata, perlindungan khas diberikan kepada kemudahan perubatan di bawah undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani berkata beberapa mayat yang ditemukan di Hospital Nasser didakwa ditemukan dengan keadaan tangan terikat dan dilucutkan pakaian.
White House bagaimanapun berkata ia akan membincangkan perkara itu dengan Israel.
“Jelas sekali situasi kubur besar secara umum amat membimbangkan, tetapi saya tidak mempunyai apa-apa yang boleh mengesahkan kebenarannya,” kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat, John Kirby kepada pemberita. -CNA
Ulasan
Catat Ulasan