Rasmi: PN terima Parti Rakyat India Malaysia




Rasmi: PN terima Parti Rakyat India Malaysia
April 22, 2024

Share

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) menerima secara rasmi Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sebagai anggota penuh.

Sehubungan itu, Presiden MIPP, S.P. Punithan merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh kepimpinan di atas pengiktirafan dan sokongan sebulat suara oleh parti-parti anggota PN iaitu BERSATU, PAS, Gerakan dan SAPP untuk menerima MIPP.

“Kita imbas kembali sejarah, tahun 1954 menyaksikan pertama kali sebuah parti berasaskan kaum India menyertai gabungan Parti Perikatan.

“Selepas 70 tahun, sejarah baru dilakar dalam arena politik negara yang menyaksikan Parti Rakyat India Malaysia menyertai gabungan Parti PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya dalam hantaran di Facebooknya, malam ini.

Ini, katanya bukan sahaja satu pengiktirafan malah memberikan mesej yang jelas bahawa PN memberikan keutamaan kepada kaum India yang juga kaum ketiga terbesar di negara ini.

Tambahnya, suara dan agenda pembangunan holistik masyarakat India akan diterajui, dipimpin dan diberikan keutamaan oleh MIPP untuk memastikan kaum India tidak ketinggalan dalam arus pembangunan Negara.

Katanya lagi, MIPP juga komited dalam merangka agenda dan naratif pembangunan ekonomi yang holistik untuk masyarakat India.

“Saya menyeru masyarakat India untuk memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL untuk masa depan yang lebih cerah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

Ulasan