SKMM gagal nyatakan kesalahan spesifik Chegubard


SKMM gagal nyatakan kesalahan spesifik Chegubard
April 16, 2024

KUALA LUMPUR: Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard hadir di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Bukit Aman, di sini, hari ini, untuk memberi sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar.

Mohd Tamrin yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba tampil memberi keterangan kepada polis di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman, pagi tadi.

“Selepas sidang media, Tamrin dan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali telah masuk ke Bukit Aman. Saya dan Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) telah membuat lintas langsung di YouTube dan TikTok di depan Bukit Aman.

“Sementara menanti Tamrin keluar, akaun TikTok saya yang ke-10 telah disekat oleh regim (campuran) dan hanya boleh diakses di luar Malaysia. Facebook saya juga disekat selama beberapa hari. Maka, sesi lintas langsung hanya boleh dibuat melalui akaun (media sosial) milik Salim.

“Ketika (membuat) sesi lintas langsung, beberapa wartawan juga ‘ada’ kerana menanti Tamrin keluar dari Bukit Aman,” katanya menerusi kenyataan umum itu tadi, melalui platform WhatsApp dan Telegram oleh kerana semua media sosial miliknya telah disekat.

Chegubard berkata, seramai tujuh hingga lapan orang yang secara tiba-tiba hadir dan memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) apabila beliau telah selesai membuat video siaran langsung.

Katanya lagi, video tersebut digunakan di platform akaun milik Salim Iskandar berdurasi selama 50 minit hingga mendapat tontotan ribuan netizen.

“Mereka ingin membawa saya dan Salim terus ke ibu pejabat SKMM untuk sesi soal siasat pada jam 3 petang tapi setelah saya tegaskan saya hanya boleh ke SKMM esok kerana hari ini ada tugas.

“Mereka juga telah gagal menyatakan kesalahan spesifik. Saya dan Salim akan hadir ke ibu pejabat SKMM di Cyberjaya pada 17 April, Rabu, jam 3 petang,” ujarnya.

Tambah beliau, pada 9 April lalu beliau turut hadir kerana dipanggil ke USJT Bukit Aman atas isu berhubung posting di Facebook beliau yang membela institusi Raja-Raja Melayu.

“Siasatan di bawah akta hasutan dan akta SKMM. Saya enggan serahkan telefon bimbit saya kerana jelas saya tidak membuat apa-apa kesalahan dan siasatan ke atas saya merupakan salah guna kuasa regim.

“Esok saya ke SKMM atas kesalahan yang SKMM gagal nyatakan. Maka saya tidak akan serahkan gajet saya. Saya sedia ditahan.

“Rejim yang gagal menjaga ekonomi, kos kehidupan makin naik dalam keadaan korupsi berleluasa dan sengaja biak isu perkauman dan agama bagi mengalih perhatian, namun dalam masa sama apabila ada kritikan rejim dengan rakus salah guna kuasa dan agensi kerajaan bagi membungkam suara rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

Ulasan