Solidariti bersama mereka di Palestin pada Aidilfitri


KESEMPATAN syawal sewajarnya mengharapkan doa-doa kita dikabulkan untuk umat Islam di Palestin dan seluruh dunia agar diberikan kejayaan dan keselamatan. – AFP

Solidariti bersama mereka di Palestin pada Aidilfitri
Oleh Meja Rencana
18 April 2024, 9:00 am

KETIBAAN 1 Syawal kali ini sekalipun disambut seperti biasa dengan kegirangan dan kegembiraan oleh umat Islam di seluruh dunia, namun hati mereka sentiasa dihurung kesedihan mengenang nasib yang sedang menimpa saudara mereka di Gaza.

Konflik yang sudah memasuki bulan keenam belum menunjukkan noktahnya. Israel yang sentiasa dibantu oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain masih menunjukkan lagak dan bongkak sekalipun dikecam seluruh penduduk dunia.

Dalam tempoh ini juga kita melihat organisasi besar dunia yang sentiasa menggelarkan diri mereka sebagai penyelamat dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau pertubuhan berkaitan hak asasi manusia menjadi lemah dan lesu ketika berhadapan dengan tindakan Israel dan sekutunya.

Dalam isu Palestin ini, pengajaran dari peperangan 6 Oktober 1973 masih jelas dalam ingatan dan catatan apabila kesatuan negara Arab iaitu Mesir, Syria, Lubnan dan Jordan berjaya melemahkan onar yang dibuat oleh Israel ketika itu sebelum segala-galanya berubah dengan perjanjian Kem David.

Begitu juga dengan peristiwa-peristiwa sebelumnya yang menunjukkan kesatuan adalah asas utama kepada kejayaan. Imam Fakruddin al-Razi menukilkan dalam kitab tafsirnya bahawa perbuatan bertakbir itu adalah satu manifestasi kepada syukurnya hamba itu kepada Allah yang telah mengurniakan hidayah dan Taufik-Nya.

Kesempurnan hidayah itu pula diterjemahkan pada akidah (iman), perkataan dan perbuatan. Selain itu, gesaan syarak untuk bertakbir di hari yang mulia ini juga sebagai isyarat yang jelas bahawa Allah sentiasa mendengar akan sebutan dan doa-doa hambaNya dan tidak sesekali mengecewakan harapan dan doa mereka.


Ayat tersebut pula disambung dengan ayat 186 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

Al-Imam Syarafuddin al-Tibiy menerangkan bahawa Allah itu sentiasa hampir dalam mendengar segala doa dan rintihan hamba-hambaNya dengan syarat hamba itu sentiasa bersedia untuk melaksanakan perintahNya kepada keimanan dan ketaatan.

Menerusi kedua-dua ayat ini, marilah sama-sama kita menghayati amalan bertakbir pada Syawal ini dengan menzahirkan keimanan dan ketaatan, mengharapkan doa-doa kita dikabulkan untuk umat Islam di Palestin dan seluruh dunia agar diberikan kejayaan dan keselamatan dalam hidup mereka serta istiqamah dalam membela tanah suci umat Islam tersebut sehingga ia dapat disucikan dari kejahatan rejim Zionis Israel. – UTUSAN

DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Ulasan