Terengganu cadang hukuman sebat di tempat terbuka




Terengganu cadang hukuman sebat di tempat terbuka
MUHAMMAD Khalil Abdul Hadi (barisan belakang, tengah) bergambar bersama penerima bantuan pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Oleh MEDIA MULIA
30 April 2024, 7:33 am

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu sedia mempertimbangkan cadangan untuk me­laksanakan hukuman sebat di tempat terbuka bagi kesalahan syariah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pelaksanaan hukuman itu sedang diteliti sambil melihat perkembangan semasa.

Menurut beliau, tindakan tersebut bagaimanapun mempunyai prosedur dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum direalisasikan dalam usaha memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah Islam.

“Buat masa ini (hukuman sebat) dilaksanakan di tempat tertutup iaitu di Penjara Marang tetapi kita akan tengok dari semasa ke semasa dan sedang pertimbang untuk sebat di tempat awam.

“Jika dilihat kepada semangat (pengajaran), hukuman ke atas pesalah undang-undang Islam harus dibuat di khalayak ramai, namun ia subjektif adakah di masjid, mahkamah atau di lokasi bersesuaian.

“Jika hukuman berkenaan dibuat di dalam penjara pun ada di hadapan khalayak tertentu, jadi atas dasar itu, kita akan lihat perkembangan semasa,” kata­nya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu Siri Pertama 2024 di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 16 penerima menerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjumlah RM27,000 membabitkan golo­ngan asnaf, fakir miskin dan ibu tunggal.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. berkata, peruntukan sedia ada memberi kuasa kepada hakim untuk menentukan tempat pelaksanaan hukuman.

“Berdasarkan enakmen sedia ada, hukuman akan dibuat di penjara kecuali disebut sebaliknya oleh hakim yang membacakan keputusan dan itu adalah ketetapan buat masa ini,” katanya. – UTUSAN

Ulasan