TERKINI GEMPA BUMI TAIWAN: 38 pekerja hotel Taman Negara Taroko masih hilang





TERKINI GEMPA BUMI TAIWAN: 38 pekerja hotel Taman Negara Taroko masih hilang
PENDUDUK berdiri di hadapan bangunan yang sedang dirobohkan berikutan gempa bumi, di Hualien, Taiwan, semalam. -REUTERS
Oleh Wartawan Luar Negara
4 April 2024, 12:00 pm

HUALIEN: Bilangan orang yang cedera dalam gempa bumi berukuran 7.2 magnitud di timur Taiwan meningkat melepasi 1,000 hari ini walaupun angka kematian kekal stabil pada sembilan.

Dalam pada itu, seramai 38 pekerja yang dalam perjalanan ke sebuah hotel di Taman Negara Taroko masih hilang dan yang lain sudah ditemukan.

Gempa bumi, yang paling kuat dalam 25 tahun, melanda Taiwan semalam ketika orang ramai bersiap sedia untuk pergi bekerja dan sekolah, berpusat di daerah timur Hualien yang sebahagian besarnya di luar bandar dan berpenduduk tidak padat.

Bangunan juga bergegar dengan kuat di ibu kota Taipei, tetapi kerosakan dan gangguan di sana adalah minimum.

Jabatan bomba Taiwan berkata, jumlah kecederaan mencecah 1,038, menjadikan jumlah keseluruhan hilang 52.

Sekitar 12 pekerja hotel dalam perjalanan ke sebuah resort di Taman Negara Taroko ditemukan dengan 38 masih disenaraikan sebagai hilang.


Jabatan bomba berkata, kerja menyelamatnya tertumpu kepada orang yang terperangkap di lebuh raya merentas pulau yang merentasi gaung menghubungkan Hualien dengan pantai barat Taiwan dan idestinasi pelancongan yang popular.

Pihak berkuasa menggunakan dron dan helikopter untuk mencari orang di gaung dan akan menurunkan bekalan kepada mereka apabila ditemukan.

Pada pagi hari ini, sebuah helikopter menyelamatkan enam orang yang terperangkap di kawasan perlombongan, kata jabatan bomba.

Laluan kereta api ke Hualien juga dibuka semula lebih awal daripada jadual hari ini walaupun sebuah stesen luar bandar di utara bandar Hualien masih ditutup kerana kerosakan, kata pentadbiran kereta api.

Di bandar Hualien di mana semua orang yang terperangkap dalam bangunan diselamatkan, beberapa orang tidur di luar rumah semalaman ketika berpuluh-puluh gegaran susulan menggegarkan wilayah itu.

Seorang wanita, 52, yang memberikan nama keluarganya sebagai Yu berkata, dia masuk ke dalam khemah di padang yang digunakan untuk perlindungan sementara pada lewat malam semalam kerana dia terlalu takut untuk tidur di pangsapurinya yang disifatkannya sebagai huru-hara.

“Gempa susulan itu amat menakutkan. Ia tidak henti-henti. Saya tidak berani tidur di dalam rumah,” katanya.

Agensi berita pusat rasmi berkata, pada 1999,Taiwan dilanda gempa terbesar pada ukuran 7.6 magnitud yang membunuh kira-kira 2,400 orang dan merosakkan atau memusnahkan 50,000 bangunan. -REUTERS

Ulasan