UAE masih bergelut selepas ribut



KERETA tersangkut di jalan raya dan ditenggelami air selepas ribut melanda Dubai, Emiriah Arab Bersatu, kelmarin. – AGENSI

UAE masih bergelut selepas ribut
Oleh Wartawan Luar Negara
18 April 2024, 9:00 pm


DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih bergelut dalam proses pemulihan selepas dilanda ribut yang menyebabkan sebahagian besar aktiviti negara terhenti.

Lapor CNA, di Dubai, operasi di lapangan terbang dan hab perjalanan utama kekal terganggu selepas ribut melanda Selasa lalu yang membanjiri landasan, me­ngakibatkan lencongan, kelewatan dan pembatalan penerbangan.

Bagaimanapun, pihak lapa­ngan terbang itu berkata, mereka menyambung semula operasi dan menerima penerbangan masuk di Terminal 1 yang digunakan oleh syarikat penerbangan asing, tetapi penerbangan itu terus ditangguhkan dan terganggu.

Emirates, satu-satunya syarikat penerbangan terbesar di lapangan terbang itu berkata, mereka me­nyambung semula daftar masuk penumpang di Dubai pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) semalam.

Lapangan terbang bergelut untuk mendapatkan makanan kepada penumpang yang terkandas dengan jalan berhampiran disekat oleh banjir dan kerana kesesakan, akses terhad kepada mereka yang mengesahkan tempahan.

Ribut turut melanda negara jiran, Oman pada Ahad lalu yang membanjiri jalan raya dan menyebabkan kesesakan berjam-jam ketika air hujan turut menenggelamkan rumah.


Seorang dilaporkan maut di UAE dan 20 di Oman.


Banjir memerangkap penduduk dalam lalu lintas, pejabat dan rumah ketika UAE merekodkan hujan paling lebat dalam tempoh 75 tahun, kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa juga memberitahu kakitangan kerajaan dan pelajar untuk tinggal di rumah sementara jalan yang ditenggelami air dibersihkan.

Pakar iklim berkata, peningkatan suhu yang disebabkan oleh perubahan iklim membawa kepada kejadian cuaca yang lebih ekstrem di seluruh dunia, seperti ribut yang melanda UAE dan Oman.

“Kemungkinan ribut itu di­sebabkan oleh perubahan iklim kerana terdapat lebih banyak lembapan yang tersedia di ruang udara untuk mana-mana sistem ribut,” kata Colleen Colja, seorang saintis iklim di Imperial College London.

Penyelidik menjangkakan bahawa perubahan iklim akan membawa kepada peningkatan suhu, peningkatan kelembapan dan risiko banjir yang lebih besar di bahagian rantau Teluk.

Masalah ini boleh menjadi lebih teruk di negara seperti UAE di mana terdapat kekurangan infrastruktur saliran untuk menghadapi hujan lebat.

Agensi kerajaan UAE yang menyelia pembenihan awan, proses memanipulasi awan untuk mening­katkan hujan, menafikan bahawa sebarang operasi sedemikian berlaku sebelum ribut.

Presiden UAE, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan mengarahkan pihak berkuasa menilai kerosakan akibat ribut tersebut.

Ulasan