UMNO, PAS, PKR kecam tindakan baling bom petrol ke kedai KK Mart




UMNO, PAS, PKR kecam tindakan baling bom petrol ke kedai KK Mart
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi - Mac 27, 2024 @ 11:07am

KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin politik daripada UMNO, PAS dan PKR hari ini mengecam tindakan individu yang membaling bom petrol ke kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, dekat Bidor di Perak semalam


Mereka sepakat bahawa tindakan ekstrem seperti itu tidak boleh diterima akal dan wajar dikecam. Justeru, mereka mahu semua pihak menyerahkan isu diselesaikan menerusi lunas undang-undang.

Bagi Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat, seterusnya mengenakan tindakan keras kepada pihak terbabit.

"Kita mengecam sekeras-kerasnya isu insiden melampau yang membaling bom petrol ke KK Mart dan ugutan bunuh terhadap saya.
DISYORKAN UNTUK ANDA










"Walaupun diugut bunuh, pendirian saya dan seluruh umat Islam Malaysia tidak akan berganjak untuk kita teruskan kempen #boikotkkmart ini agar menjadi pengajaran keras untuk semua untuk tidak memperlekehkan agama Islam di bumi ini.

"Untuk meredakan keadaan, kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan seterusnya dikenakan tindakan yang sekerasnya untuk mereka ini. Terus boikot," katanya melalui kenyataan di Facebook.


Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataannya semalam berkata, siasatan awal polis mendapati bom petrol yang dilempar ke sebuah kedai serbaneka dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang menaiki kereta awal pagi semalam.

Mohd Yusri berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai terbabit mendapati, sebuah kereta berwarna gelap yang mempunyai pelekat warna merah 'Lalamove', berhenti di tepi jalan kira-kira jam 5.35 pagi.

Dalam pada itu, Dr Akmal menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya polis sehingga kes ini membawa kepada pendakwaan di mahkamah semalam.

"Kita menghormati proses undang-undang untuk dilaksanakan mengikut aturannya, tetapi pada masa sama kempen boikot KK Mart ini perlu diteruskan agar ia memberikan pengajaran hebat kepada mereka dan mana-mana pihak yang ingin menghina agama Islam pada masa hadapan," katanya.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari



Sementara itu, PAS menyifatkan kejadian membaling bom petrol ke premis KK Mart cawangan Bidor, Perak, awal pagi semalam sebagai perbuatan yang tidak boleh diterima akal dan wajar dikecam.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata tidak ada sebarang ruang boleh dibiarkan untuk perbuatan seperti itu menjadi norma dalam masyarakat atas apa jua alasan sekali pun.

"Undang-undang dan keadilan tidak boleh terlaksana melalui tangan sendiri secara individu kerana kita mempunyai kerajaan dan pihak penguat kuasa undang-undang yang diberikan hak di dalam perlembagaan.

"Saya rakamkan takziah dan simpati kepada pihak yang menjadi mangsa dalam insiden balingan bom petrol ini.

"Pada masa sama, menuding jari kepada mana-mana pihak juga satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan media.

Naib Presiden PKR yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad. - foto BERNAMA



Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menegaskan sikap berlebihan dalam menangani isu ini mampu mempengaruhi individu tertentu untuk bertindak ekstrem seperti insiden melontar bom petrol ke kedai KK Mart.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan agar isu ini dikendalikan mengikut lunas undang-undang dan KK Mart telah membuat permohonan maaf secara terbuka serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal stokin tersebut.

"Sesuai saranan Perdana Menteri, kita perlu beri ruang untuk undang-undang menghakimi individu-individu yang terbabit," katanya.

Semalam tujuh pihak termasuk KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga pembekal stoking tertera kalimah Allah kepada rangkaian kedai serbaneka itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Selain dua syarikat itu, turut didakwa Pengasas, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57, dan isterinya yang juga pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, selain Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga tiga beranak iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36.

Lima individu berkenaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Dalam pada itu Nik Nazmi berkata pada Ramadan yang mulia ini, beliau percaya ia masa sesuai untuk umat Islam menunjukkan contoh yang baik dalam menangani isu ini.

"Islam pada asasnya menjunjung keadilan yang dijalin dengan belas kasihan. Islam yang penuh hikmah dan kasih sayang menekankan ketinggian akhlak dan adab umatnya dan melarang kita bersikap melampau atau bertindak di luar lunas undang-undang seperti mengancam nyawa, menyebabkan kecederaan atau merosakkan harta benda.

"Kita seharusnya mengekalkan belas kasihan dan empati, bukan menaikkan kemarahan atau kecaman sesama sendiri.

"Menyerahkan isu ini kepada pihak polis dan badan perundangan adalah langkah terbaik bagi mengelakkan hal yang tidak diingini berlaku. Kedaulatan undang-undang harus diutamakan dan saya percaya pemimpin juga mempunyai kewajipan dalam memastikan perkara ini diutamakan," katanya.

Ulasan