1,118 doktor kontrak tolak jawatan tetap





1,118 doktor kontrak tolak jawatan tetap
Sebanyak 1,118 doktor kontrak daripada 5,489 yang ditawarkan sebagai pegawai perubatan tetap menolak tawaran tersebut. - Gambar hiasan
Oleh FITRI NIZAM
22 Mei 2024, 7:50 am

PETALING JAYA: Sebanyak 1,118 doktor kontrak daripada 5,489 yang ditawarkan sebagai pegawai perubatan tetap menolak tawaran tersebut, tidak melaporkan diri dan meletak jawatan sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu merangkumi 529 pegawai yang menolak lantikan secara tetap dengan 559 lagi tidak melaporkan diri di fasiliti perubatan ditetapkan manakala 30 doktor kontrak meletak jawatan.

Walaupun jumlah itu sedi­kit berbanding pegawai yang sudah memulakan tugas di penempatan dipilih atau ditetapkan, ia mengundang kebimbangan Hartal Doktor Kontrak (HRD).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata, trend penolakan, tidak melapor diri dan meletak jawatan itu berpunca daripada tawaran dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang disifatkan sebagai tidak ‘menyebelahi’ mereka.
PENEMPATAN

Menurutnya, kebanyakan kes berlaku disebabkan penempatan ditetapkan kepada doktor berkenaan tidak bersesuaian dengan kepakaran dimiliki.

“Kita perlu sedar ada antara mereka yang sudah lama dalam perkhidmatan dan memiliki kepakaran khusus dalam bidang tertentu, namun kebanyakan mereka apabila dilantik ke jawatan tetap diarahkan untuk berpindah atau diletakkan ke penempatan baharu.


“Ada sesetengah kes doktor ini telah mengambil peperiksaan luar negara dalam bidang penyakit dalaman (MRCP) dan ingin menjadi pakar perubatan dalaman (internal medicine physician), tetapi setelah semua usaha itu, apabila dilantik ke perkhidmatan tetap, dia diarahkan ke klinik kesihatan atau pejabat kesihatan daerah.

ADVERTISING


“Dalam kebanyakan kes, ramai doktor merayu kepada pihak pentadbiran dan kementerian agar diberi penempatan untuk memudahkan latihan kepakaran, namun permintaan tersebut dipandang sepi sehingga mereka tawar hati dengan pelantikan tetap lantas meletak jawatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, terdapat banyak kes dalam kalangan doktor yang mendapat tawaran tetap namun tidak mematuhi arahan KKM untuk berpindah ke penempatan baharu atas pelbagai alasan termasuk keluarga dan kesihatan.

“Lantas daripada kegagalan untuk mengikut terma yang ditetapkan ini menyebabkan tawaran lantikan tetap terbatal dan mereka cuma boleh kekal berkhidmat sebagai lantikan kontrak sehingga maksimum tujuh tahun,” katanya.
KOMITED

Kata beliau, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan kerajaan sendiri komited membuka lantikan tetap secara konsisten setiap namun sekiranya dasar yang menekan permintaan doktor tidak diendahkan maka tidak hairan jika trend penolakan sebegini berterusan di masa depan.

“Bagi Hartal Doktor Kontrak, ini adalah satu isu yang mendesak untuk diperhalusi oleh pihak kementerian, kerana suatu polisi menang-menang perlu dirangka untuk memastikan survivaliti dalam mengekalkan tenaga sumber manusia yang sangat berkemahiran di dalam perkhidmatan.

“Janganlah terlalu keras dengan polisi yang menekan kami semua, dengarlah rintihan kami di peringkat dasar. Kami juga menyeru agar kerajaan dan KKM lebih terbuka mendengar suara dan rintihan kami di peringkat dasar supaya polisi lebih baik dirangka agar semua polemik dan kemelut ini dapat diatasi segera,” katanya.

Pada 13 Mei lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sumber Manusia bagi mengatasi isu kekurangan pegawai perubatan di hospital kerajaan ketika ini.

Menurut Dr Dzulkefly, itu adalah sebahagian langkah sederhana dan panjang yang bakal dilaksanakan bagi mengatasi isu itu dengan kerjasama beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Ia (pelan induk) baru sahaja disebut dalam mesyuarat pasca Kabinet sebelum ini,” kata beliau. – UTUSAN

Ulasan