500 petugas perubatan terkorban di Gaza



500 petugas perubatan terkorban di Gaza
Oleh Wartawan Luar Negara
13 Mei 2024, 8:30 pm

GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan sekurang-kurangnya 500 kakitangan perubatan terbunuh sejak serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza, 7 Oktober lalu.

Jurucakap kementerian, Khalil al-Daqran berkata, jururawat, bidan dan pasukan perubatan adalah sebahagian daripada rakyat Palestin.

Jelasnya, mereka adalah syuhada yang memainkan peranan kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa orang awam yang ditimpa kesakitan dan kecederaan.

“Serangan tentera Israel meragut 138 nyawa jururawat di Gaza.

“Mereka melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dalam memberikan rawatan kepada rakyat Palestin. Selain 500 yang terkorban, 1,500 petugas perubatan yang lain cedera dan 312 ditahan tentera Israel.

“Hari Jururawat Antarabangsa adalah hari yang luar biasa dan menjadi hak kami untuk menamakan tahun ini sebagai Tahun Kejururawatan,” katanya sempena Hari Jururawat Antarabangsa.


Khalil menggesa kesatuan sekerja, organisasi antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar pasukan perubatan dan jururawat untuk menyokong pasukan kesihatan di Gaza.

Kebanyakan bandar di Gaza yang musnah teruk akibat serangan Israel menyebabkan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan terjejas. -AGENSI

Ulasan