60 juta pesakit luar guna fasiliti kerajaan





60 juta pesakit luar guna fasiliti kerajaan

Oleh HAFIZ SAIDINA
25 Mei 2024, 8:00 am

PETALING JAYA: Sektor kesihatan awam mencatat kedatangan 59,990,067 pesakit luar sepanjang tahun 2022 yang menjadi antara punca berlakunya kesesakan di sesetengah klinik atau hospital kerajaan.

Berdasarkan Petunjuk Kesihatan 2023, jumlah keseluruhan Kedatangan Pesakit Luar mengikut sektor dan negeri yang direkodkan sehingga 31 Disember 2022 adalah sebanyak 63,778,213.

Daripada jumlah itu, 57,461,758 pesakit luar direkodkan hadir ke pusat kesihatan awam di bawah Kementerian Kesihatan melibatkan hospital (17,749,587), institusi perubatan khas (570,603) dan fasiliti kesihatan awam (39,141,568) manakala 2,528,309 bukan di bawah kementerian itu.

Jumlah kedatangan pesakit luar ke sektor swasta pula adalah sebanyak 3,788,146 bagi tempoh sama.

Perkhidmatan pesakit luar merujuk kepada perkhidmatan yang tidak memerlukan kemasukan pesakit ke wad.

Pesakit dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah mendapat rawatan dan berun­ding dengan doktor pada hari yang sama dan perkhidmatan ini menerima pesakit terdiri daripada pesakit baharu dan ulangan.


Perkhidmatan pesakit luar mengendalikan kes dan rawatan seperti rawatan am, kecemasan, penyakit kronik, pemeriksaan kesihatan, rawatan fisioterapi dan perkhidmatan farmasi.

Ini membuktikan bahawa fasiliti perubatan kesihatan di sektor awam perlu lebih efisien bagi mengurangkan kesesakan di hospital atau klinik kesihatan awam.

Bekas Timbalan Menteri Ke­sihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, klinik awam perlu mewujudkan sistem yang dikenali rekod kesihatan elektronik dan sistem temu janji yang mesra pengguna bagi mengurangkan kesesakan di klinik tersebut.

Beliau berkata, jika diwujud­kan sistem itu, ia akan lebih memudahkan kakitangan kesihatan untuk mencari segala maklumat serta rekod-rekod kesihatan pesakit di dalam komputer.

“Sistem janji temu yang le­bih mesra pengguna juga akan memudahkan pesakit untuk merancang masa untuk hadir ke klinik agar tidak perlu menunggu lebih lama bagi mendapatkan rawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini mela­porkan, sebanyak 80 peratus atau kira-kira 27 juta daripada keseluruhan 34 juta rakyat Malaysia mendapatkan rawatan di fasiliti kerajaan menyebabkan isu kekurangan petugas kesihatan awam berterusan.

Berdasarkan Petunjuk Kesihatan 2023, jumlah keseluruhan doktor berdaftar yang direkodkan sehingga 31 Disember 2022 adalah sebanyak 74,694 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 58,193 doktor berkhidmat di sektor awam manakala 16,501 di sektor swasta.

Ini bermakna seorang doktor yang bertugas di sektor awam perlu merawat lebih 500 pesakit dengan mengambil kira 80 peratus daripada lebih 34 juta rakyat Malaysia mendapatkan perkhidmatan di situ.

Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, klinik kesihatan awam lebih menjadi keutamaan kepada pesakit B40.

“Terdapat rangkaian klinik kesihatan yang lengkap hampir diseluruh negara, sama ada di kawasan bandar atau desa yang memberikan perkhidmatan komprehensif.

“Namun terdapat masalah yang tinggal di bandar kerana kebanyakkan ibu bapa bekerja di waktu pagi dan memilih untuk pergi ke klinik selepas waktu kerja.

“Jadi mereka memilih pergi ke unit kecemasan hospital ke­rajaan jika klinik kesihatan tersebut tutup pada waktu malam, sekali gus menyebabkan unit kecemasan menjadi sesak,” katanya

Tambahnya, ramai memilih untuk pergi ke klinik kerajaan kerana bayaran yang dikenakan tidak mahal dan mampu dibayar.

“Amat jauh berbeza harga kos rawatan di klinik kerajaan dengan klinik swasta. Dalam keadaan ekonomi ketika ini, orang ramai sanggup menunggu lama di klinik kerajaan ke­rana hanya perlu bayar RM1 berbanding lebih RM50 di klinik swasta,” katanya. –UTUSAN

Ulasan