‘Ada atau tidak peruntukan pembangkang di Negeri Sembilan?’
MOHAMAD Hanifah Abu Baker (tengah) bersama empat ADUN pembangkang dalam sidang akhbar selepas Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
9 Mei 2024, 5:47 pm
SEREMBAN: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Negeri Sembilan dari Perikatan Nasional (PN) meminta Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi jawapan yang tepat dan konkrit tanpa berdolak dalih dalam isu pemberian peruntukan kepada mereka.
Ketua Pembangkang, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, jawapan tepat harus diberikan berkenaan dengan isu tersebut selepas pihaknya berulang kali sebelum ini membangkitkan serta membuat permohonan mengenainya.
“Menteri Besar perlu jawablah, ada atau tidak ada. Janganlah berdolak dalik dan beri jawapan yang tidak jelas yang mengelirukan dewan.
“Kenyataan Menteri Besar dalam sidang DUN itu sebenarnya tidak menjawab dan beliau hanya kata peruntukan pembangunan telah diberi kepada kawasan pembangkang.
“Peruntukan pembangunan itu memang dibawah tanggungjawab kerajaan negeri dan kami tanya mana peruntukan untuk ADUN pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas selesai Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.
Aminuddin ketika penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada Sidang DUN Negeri Sembilan hari ini memberitahu, kerajaan tidak meminggirkan lima kawasan DUN pembangkang di negeri ini dalam agihan peruntukan.
Menurutnya, peruntukan tersebut telah dilulus dan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Mohamad Hanifah yang merupakan ADUN Labu dan juga Pengerusi PN Negeri Sembilan dalam pada itu berkata, pihaknya akan terus memberi tekanan sehingga Aminuddin memberi satu jawapan tepat berhubung isu pemberian peruntukan.
“Seharusnya peruntukan kepada ADUN pembangkang wajar diberikan. Kalau beliau yakin tindakan itu betul dengan tidak memberi peruntukan kepada pembangkang akan melemahkan PN, beliau boleh teruskan.
“Beliau dilihat seakan menganiaya sejumlah kecil pengundi yang menyokong kerajaan di kawasan pembangkang. Kami akan lebih agresif selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, ADUN pembangkang kecewa sepanjang perjalanan sidang DUN Negeri Sembilan kali ini kerana tempoh masa berbahas yang diberi sangat terhad untuk ADUN pembangkang dan turut dibuat secara tergesa-gesa.
Beliau sementara itu turut berharap kerajaan negeri dapat bertindak segera dalam menyelesaikan isu-isu yang melibatkan keselamatan dan kebajikan rakyat yang sering kali dibawa dalam DUN antaranya isu pokok dan bekalan air.-UTUSAN.
Ulasan
Catat Ulasan