AI kurangkan kebergantungan kepada kepakaran manusia


AI kurangkan kebergantungan kepada kepakaran manusia
KEMUNCULAN teknologi AI mengubah sektor pekerjaan kepada penggunaan teknologi sepenuhnya. – GAMBAR HIASAN
Oleh Datuk Ir .Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail
19 Mei 2024, 8:33 am

Teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mencipta impak melata di seluruh dunia, termasuk Malaysia. AI mula mentransformasi cara bekerja dan menjalani kehidupan bagi ramai orang, yang tampaknya mencipta satu fenomena yang tidak berlaku sebelumnya.

Kepesatan kemajuan AI pada peringkat global memerlukan satu respon yang tidak hanya menjadikan Malaysia pengguna AI, sebaliknya mesti menjadi pencipta teknologi AI demi membentuk satu wajah baharu negara sebagai peneraju bidang AI di rantau ini dan dunia.

Mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang pertama di Malaysia merupakan satu langkah strategik yang praktikal dalam menjayakan agenda AI di negara ini, selaras dengan fokus utama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan.

FAI telah dilancarkan oleh Perdana Menteri sendiri pada 10 Mei lalu di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri turut melancarkan Konsortium Malaysia Artificial Intelligence (MAI) sempena majlis Malaysia Artificial Intelligence Nexus (My AI Nexus) 2024.

Dalam ucapannya Perdana Menteri mengingatkan dengan adanya teknologi AI, ia tidak semestinya mengurangkan peluang pekerjaan sebaliknya kehadiran teknologi ini membawa kemahiran dan mampu mencipta peluang pekerjaan baharu.


Dalam menterjemah mandat kerajaan ini, UTM tidak akan bergerak secara solo dalam menggerakkan agenda AI, sebaliknya akan merekayasa dan memimpin segenap kepakaran yang ada khasnya melalui Fakulti AI dan Konsortium MAI dalam menjayakan agenda AI Malaysia.

Sifat teknologi AI yang dapat menembusi pelbagai bidang membolehkan pelbagai transformasi dapat direncanakan dalam memberi wajah baharu kepada bidang-bidang kritikal di negara ini.

Bidang pertanian, pendidikan, pertahanan, dan penjagaan kesihatan antara bidang kritikal yang perlu diberikan perhatian khusus.

Bidang pertanian menjadi bidang yang amat penting dalam memastikan keterjaminan makanan buat rakyat negara ini. Bidang ini memerlukan transformasi, khasnya dalam pemodenan aktiviti pertanian seperti penanaman padi, sayur-sayuran, buah-buahan, serta aktiviti perternakan haiwan untuk dijadikan sumber protein.

Pengaplikasian teknologi AI ke dalam bidang pertanian serta industri asas tani dapat direalisasikan dengan penggunaan AI yang dapat meningkatkan ketepatan data berkaitan kondisi penanaman, seperti kesuburan tanah, tahap kesihatan tanaman, serta sukatan baja dan air yang tepat untuk tanaman terbabit.

Penggunaan AI dapat mengurangkan kemungkinan pembaziran baja dan air, justeru akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber negara.

Dalam bidang pendidikan pula, teknologi AI dapat membantu pendidik, sama ada di sekolah atau institut pendidikan tinggi (IPT) dalam memberikan maklumbalas yang pantas dan tepat kepada pelajar.

Melalui penggunaan AI, pendidik dapat mengoptimumkan penggunaan masa untuk merekayasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih berimpak dan bermakna, terutamanya dalam menjadikan proses pendidikan yang lebih inklusif kepada kelompok yang memerlukan perhatian khas pendidik melalui interaksi manusiawi bersama mereka.

Bidang pertahanan juga adalah satu bidang kritikal untuk dilihat dengan dekat. Melalui penggunaan teknologi AI, sektor pertahanan dapat ditransformasikan khasnya dalam operasi ketenteraan, perisikan, dan proses pembuatan keputusan.

Sebagai contoh, penciptaan autonomous drones, unmanned ground vehicles (UGV), dan unmanned aerial vehicles (UAV) membolehkan keperluan untuk adanya manusia dalam kenderaan atau peralatan terbabit tidak lagi diperlukan.

Ini membolehkan tenaga manusia dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih strategik atau kritikal, dan mengurangkan kebergantungan kepada manusia untuk misi-misi ketenteraaan khasnya di udara yang mempunyai risiko tinggi. Dron misalnya jelas digunakan dalam perang di Asia Barat pada waktu sekarang.

Dalam bidang penjagaan kesihatan pula, teknologi AI membawa pembaharuan khasnya dalam perekodan kesihatan secara elektronik. Teknologi AI dapat meningkatkan upaya menganalisis dan mengurus data dengan mengekstrak data yang diperlukan, mengenal pasti corak data kesihatan seseorang pesakit terutamanya sejarah kesihatan seseorang, dan membantu membuat dokumentasi yang lebih sistematik oleh pihak berwajib.

Saranan yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah supaya Kementerian Kesihatan menggunakan teknologi dan inovasi untuk memantapkan kesihatan awam semasa pandemik, pada 21 Disember 2023 adalah satu gambaran terhadap manfaat kepada sektor kritikal ini apabila teknologi diaplikasikan untuk mentransformasi sektor kesihatan di negara ini..

AI telah mula dan akan terus membawa transformasi besar-besaran kepada sosioekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia.

Justeru, ayuhlah kita bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda AI negara. Malaysia harus menerajui bidang AI dengan menjadi pencipta teknologi ini dan tidak sekadar menjadi penggunannya.

Bagi pihak UTM, komitmen penuh akan diberikan dalam memastikan mandat kerajaan kepada UTM melalui KPT dalam menubuhkan Fakulti AI dan juga Konsortium MAI terlaksana dengan jayanya. Bersama-samalah memacu agenda AI atas nama negara yang tercinta.

Profesor Datuk Ir Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail ialah Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia

Ulasan