'ALLAH tolong kami dalam gelanggang'



Aksi pemain Malaysia Noraizat Nordin (kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (kiri) meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Thailand dalam perlawanan akhir Acara Beregu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, pada Rabu. Foto Bernama

'ALLAH tolong kami dalam gelanggang'

23 Mei 2024 12:52amMasa membaca: 4 minit


TIADA kata dapat menggambarkan kegembiraan gandingan double sepak takraw Malaysia, Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin selepas berjaya menumbangkan Thailand dalam perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Rabu.

Kejayaan yang datang dengan usaha dan semangat luar biasa itu sememangnya sukar untuk diucapkan dengan kata-kata apatah lagi lawan yang ditumbangkan boleh dianggap sebagai raja sepak takraw dunia.


Bagi Noraizat, tekanan yang dihadapinya bersama Aidil Aiman ketika perlawanan akhir itu cukup tinggi, namun bersyukur dapat mengatasinya.


"Tak percaya sebenarnya (dapat menang juara dunia) tapi kalau rezeki dah tertulis, menang tetap menang juga. Berkat doa semua termasuk seluruh rakyat Malaysia.


"Saya memang ingat ALLAH sahaja dalam gelanggang. Selawat tidak tinggal dan ALLAH tolong kami dalam gelanggang sehingga mata terakhir," katanya.


Pasukan Malaysia meraikan kemenangan selepas menjadi Juara dalam acara Beregu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa pada Rabu. Foto Bernama



Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu, Noraizat dan Aidil Aiman menang 17-16, 15-13 untuk merangkul kejuaraan dunia pertama sejak Piala Dunia tersebut diperkenalkan pada 2011.


Dalam pada itu, Aidil Aiman menyifatkan kejayaan yang diraih itu membuktikan Malaysia boleh meraih kemenangan dengan Thailand walaupun sebelum ini badi tersebut sukar untuk dileraikan.





"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong pasukan negara. Saya dengan Aizat dah buktikan kita boleh menang dengan Thailand," katanya.

Ulasan