‘Aloha Party’: Kerajaan negeri panggil pemilik resort hari ini




‘Aloha Party’: Kerajaan negeri panggil pemilik resort hari ini
Kerajaan negeri menyiasat dakwaan penganjuran 'Aloha Party' di sebuah resort terkenal di Pulau Lang Tengah, Besut Isnin lalu.
Oleh .ZAID MOHD. NOOR
23 Mei 2024, 7:32 am

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyiasat dakwaan penganjuran ‘Aloha Party’ di sebuah resort terkenal di Pulau Lang Tengah, Besut Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat kesalahan dilakukan pihak penganjur pesta tersebut.

Menurutnya, siasatan melibatkan kesalahan dari segi garis panduan hiburan, pelancongan dan kelulusan permit.

“Kita akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu, jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta kita akan bertindak.

“Sama ada salah dari segi garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit, itu kita akan teliti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas penyebaran video dan gambar sekumpulan lelaki dan wanita yang berpakaian separuh bogel di sebuah resort di pulau peranginan itu.


Sehubungan itu, Razali berkata, pihaknya akan memanggil pemilik resort terlibat hari ini bagi memberi penjelasan berhubung penganjuran pesta tersebut.

Tambahnya, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu turut terlibat dalam penjelasan itu nanti.

Selain itu, beliau meminta orang ramai memberi kerjasama menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang penganjuran pesta liar di negeri ini kepada pihak berkuasa.

“Jika bukti ia menyalahi peraturan atau ada orang beragama Islam terlibat dalam parti itu, boleh salurkan kepada pejabat agama untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan