‘Amerika kuasa besar dunia, jiwa sangat kecil’




‘Amerika kuasa besar dunia, jiwa sangat kecil’
May 4, 2024

KUALA LUMPUR: “Malangnya Amerika Syarikat (AS) kuasa besar dunia, jiwanya sangat kecil. Begitu juga di Britain dan Perancis.”

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, disebabkan bimbang kalah dalam pilihan raya, kesemua negara itu sanggup menyokong Israel, kerana pengaruh media serta bank dunia.

Menurutnya, rakyat Malaysia sekarang ini telah menyaksikan kumpulan pejuang Palestin yang bersatu di atas nama Islam dan kemanusiaan.

“Mereka juga telah menunjukkan adab-adab Islam dalam perjuangannya menentang zionis Israel,” katanya.

Beliau memetik ayat suci al-Quran yang bermaksud; ‘perangi musuh-musuh itu, tetapi jangan melampau. Allah SWT tidak suka pada orang yang melampau’.

“Mereka (pejuang Palestin) hanya menyerang sasaran tentera, tidak membunuh orang awam, tawanan-tawanan Yahudi dilayan dengan baik,” jelasnya.

Perkara ini menurut Tuan Guru, telah menimbulkan rasa simpati pelajar-pelajar di universiti AS dan Eropah, sehinggakan ada negara-negara Amerika Latin dan Afrika yang telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Himpunan 100K Bela Palestin di sini, hari ini.

Tambah Tuan Guru, himpunan itu telah diadakan bagi menunaikan fardhu ain, wajib bagi setiap individu mengikut kemampuan masing-masing.

“Apabila menghadapi kezaliman, kita bangkit menentang secara fardhu ain mengikut kemampuan masing-masing.

“Sekurang-kurangnya dengan perasaan hati kita. Sekuat-kuatnya, sanggup berperang,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2024

Ulasan