Antara koc pesta disko, Aloha dan Pak Pandir





Antara koc pesta disko, Aloha dan Pak Pandir
May 27, 2024

BARU-baru ini kecohlah seantero alam Malaysia Madani apabila negara ini mencipta sejarah wujudnya disko dalam koc keretapi iaitu Pesta Pinkish Express.

Pesta itu dilaporkan banyak media sebagai yang pertama di Asia Tenggara! Tahniah! Kerajaan Madani memang banyak mencipta sejarah akhir-akhir ini.

Tidak lama dulu kerajaan umum naik gaji kakitangan kerajaan tertinggi dalam sejarah, kali ini pesta liar dalam koc kereta api pertama di Asia Tenggara dalam sejarah!

Maka teruklah geng ‘Madanon-Walanon’ dikecam orang ramai dengan apa yang berlaku. Menutup telingalah segala puak mereka mendengar kutukan itu. Untuk pertahankan diri, puak ‘Madanon-Walanon’ kata “siapa marah koc-disko, mereka Khawarij”.

Tiba-tiba beberapa hari lepas terdedah pula satu kejadian pesta hiburan liar di sebuah negeri di Pantai Timur yang diperintah Perikatan Nasional.

Maka melompat-lompat bagaikan beruk puak-puak ‘Madanon-Walanon’ . Mereka sangka mereka dapat bola tanggung. Penuhlah di media-media sosial (medsos) mereka dengan frasa ‘Aloha’.

Kononnya untuk menyindir geng Perikatan Nasional. Kononnya, sama saja negara diperintah ‘ ‘Madanon-Walanon’ ‘ dengan negeri diperintah ‘Walaun’.

Eh, nanti dulu. Non sobar Non… Non releks Non….

Itu yang mengingatkan kita pada kisah Pak Pandir. Kisahnya Pak Pandir kematian anak. Masa nak mengebumikan jenazah anaknya itu, Pak Pandir yang bodoh itu membungkusnya dalam gulungan tikar mengkuang.

Di tengah jalan, tanpa disedari Pak Pandir, mayat anaknya tercicir dari gulungan tikar mengkuang itu. Sebenarnya Pak Pandir hanya mengebumikan gulungan tikar mengkuang kosong sahaja.

Pulang dari tanah perkuburan Pak Pandir ternampak mayat anaknya bergelimpangan di tengah jalan. Tetapi dia tak perasan yang mayat itu anaknya. Dia sangkakan yang itu anak orang lain.

Sampai di rumah Pak Pandir berkata pada isterinya Mak Andeh. “Mak Andeh, janganlah sedih, bukan kita sahaja yang kematian anak. Ada lagi orang lain iuga yang kematian anak hari ni,” katanya.

Begitulah geng ‘Madanon-Walanon’ yang cuba menunjukkan seolah-olah sama sahaja antara pentadbiran mereka berbanding negeri-negeri diperintah Perikatan Nasional. Tidak! Mana boleh sama!

Yang pertama Pesta Pinkish Express koc disko itu berlangsung di dalam koc KTMB yang merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kebenaran sah. Manakala pesta Aloha di Terengganu itu dibuat di sebuah resort swasta dan tanpa permit yang sah.

Yang kedua, sumber rasmi KTMB mengesahkan bahawa kejadian yang berlaku dalam koc sewa khas KTMB itu adalah mengikut garis panduan dan tidak ada tindakan undang-undang akan dikenakan.

Jadi dengan video-video yang kita boleh lihat sendiri yang tular di medsos berkaitan aktiviti itu itu adalah sesuatu yang dianggap KTMB sebagai mengikut garis panduan dan tidak melanggar undang-undang.

Ini berbeza dengan pesta Aloha, pengusaha hotel telah dipanggil dan dikompaun sebanyak RM25,000. Ini menunjukkan bahawa mengadakan pesta tersebut adalah satu kesalahan di negeri PN.

Malah Exco Kerajaan Tempatan Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri dalam rangka untuk meningkatkan jumlah kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada pesalah kes-kes seperti ini.

Ini berbeza dengan isu koc-disko. Portal Malaysiakini pada 25 Mei melaporkan salah seorang pemimpin PH-BN, iaitu Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng daripada DAP menegur tindakan kerajaan Terengganu itu dan menyifatkan langkah sedemikian tidak masuk akal dan boleh menyumbang kepada kemerosotan industri pelancongan negara.

Jadi jelaslah memang kerajaan ‘Madanon-Walanon’ ini tidak ada masalah dengan pesta-pesta maksiat seperti itu dan tiada tindakan akan dikenakan jika pesta seperti itu berlaku di kawasan pentadbiran mereka. Jauh berbeza dengan sikap diambil pemimpin negeri Perikatan Nasional yang mengambil langkah mengeluarkan kompaun.

Jadi di mana samanya Non? Di mana samanya? – HARAKAHDAILY 27/5/2024

Ulasan