Bersatu diminta keluar notis kosongkan kerusi enam ahli Parlimen sokong PM



Bersatu diminta keluar notis kosongkan kerusi enam ahli Parlimen sokong PM
AHMAD FAIZAL AZUMU
Oleh ASLINDA NASIR
17 Mei 2024, 7:23 am

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) me­ngarahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin segera bertindak mengeluarkan notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi membolehkan enam kerusi wakil rakyatnya yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri dikosongkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu diputuskan bersama dalam mesyuarat Majlis Pimpinan tertinggi (MPT) Selasa lalu.

Katanya, beliau turut me­ngingatkan Hamzah supaya notis yang dikeluarkan itu perlu selari dengan perlembagaan parti yang akhirnya kerusi berkenaan dapat dikosongkan bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan.


Ads by Kiosked

“Kami telah mengadakan mesyuarat MPT yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Hasilnya, saya telah mengarahkan Setiausaha Agung Bersatu untuk mengambil tindakan berikutnya mengikut perlembagaan parti terhadap enam orang ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri.

“Ini penting kerana parti kami bukan macam UMNO, boleh pecat orang ikut suka hati. Kita ada perlembagaan parti yang harus kita ikut, namun saya sudah meminta Setiausaha Agung untuk percepatkan proses berikutnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan lanjut mengenai notis yang perlu di­serahkan tetapi Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul berkata, setakat ini kedudukan enam wakil rakyat berkenaan masih kekal sebagai ahli Parlimen.


Enam ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Ha­napi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Ini kerana menurut Johari, pihaknya belum menerima sebarang notis daripada Bersatu berhubung status keahlian enam ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pindaan perlembagaan parti itu yang diluluskan baru-baru ini.

Pada 2 April lalu, media me­laporkan ROS telah meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu menggugurkan keahlian mereka dan seterusnya mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.


Ads by Kiosked

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal turut memaklumkan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu adalah di bawah tanggungjawab semua pihak, bukan Bersatu semata-mata.

“Kami sentiasa bergerak sebagai satu pasukan, dan kekalahan ini adalah kekalahan PN. Bukan Bersatu, dan tidak perlu ada mana-mana pihak pun perlu mengambil tanggungjawab secara individu untuk meletakkan jawatan dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan