‘Buat pengumuman, tapi tidak tahu nak laksanakan’


‘Buat pengumuman, tapi tidak tahu nak laksanakan’
May 9, 2024

Share

HULU SELANGOR: Pemimpin kerajaan memerintah ketika ini dilihat hanya tahu membuat pengumuman demi pengumuman, tetapi gagal memberikan penjelasan mengenai perkara itu apabila diminta.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyifatkan mereka itu sebagai ‘Kerajaan pengumuman’ ketika Ceramah PERIKATAN NASIONAL (PN) sempena PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) di Batang Kali, di sini semalam.

Beliau mempersoalkan mengenai janji kerajaan untuk mengumumkan subsidi bersasar untuk petrol selepas PRK KKB, sedangkan dahulu berjanji menurunkan harga petrol sebaik sahaja menjadi kerajaan tetapi tidak ditunaikan.

“Dia (kerajaan) umum dulu, baru dia fikir nak buat (laksana) apa? Dia umum bahawa pencen kakitangan awam akan dihapuskan selepas ini. Bila orang tanya macam mana? (Dia jawab) ‘Nanti kita (kerajaan) akan bincang’.

“Dia umum bahawa dia akan laksanakan subsidi bersasar. Orang tanya macam mana bersasarnya? ‘Nanti kita akan bincangkan’. Tempoh hari diumum kenaikan gaji kakitangan awam. Kita (pembangkang) setuju.

“Kita sokong naikkan gaji kakitangan awam. Itu bagus untuk kebajikan mereka (penjawat awam). Bila kita tanya maklumat, apa ‘detail’.(perincian)nya? (Kerajaan jawab) ‘Tunggu tengah bincang’,” ajuk beliau.

Mereka itu bidasnya, adalah sekelompok manusia yang sebelum menjadi kerajaan telah berjanji segala macam perkara, tetapi akhirnya apabila Allah memberikan peluang sebagai kerajaan, asyik berdolak-dalik untuk menunaikan janji-janji tersebut.

Ahli Parlimen Putrajaya itu menempelak sikap para pemimpin tersebut yang dikatakannya belum insaf dengan kegagalan menunaikan segala janji lama, tetapi kini membuat pula janji-janji baharu.

“Kami di (Sidang) Parlimen, Ahli-ahli Parlimen (PN) dah puas berperang, melawan. Tetapi dia tahu dia ada kuasa. Dia ada jumlah Ahli Parlimen yang lebih ramai. Dia ‘bulldoze’ (langgar) sahaja apa yang dia nak buat,” ujarnya.

Bekas Menteri Pendidikan itu mengimbas mengenai perbahasan Akta berkaitan imuniti kepada negara asing sebagaimana selama ini imuniti atau kekebalan diberi kepada Raja-raja Melayu.

Menurutnya, pembangkang membantah untuk hanya Perdana Menteri mempunyai kuasa memberi imuniti kepada negara atau agensi asing itu dan meminta rang undang-undang berkenaan ditangguh terlebih dahulu.

Jelas beliau, pembangkang hanya mahukan perbincangan mendalam perkara itu kerana ia melibatkan kedaulatan negara, tetapi kerana kerajaan merasakan mereka ada kuasa melalui kelebihan undi Ahli-ahli Parlimen, maka mereka meluluskannya.

Sehubungan itu katanya, pengundi pada PRK KKB boleh menghantar isyarat jelas kepada Kerajaan Madanon untuk tidak berbuat sesuka hati mereka. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

Ulasan