Cuaca panas hingga Julai di enam negeri




Cuaca panas hingga Julai di enam negeri

Oleh ROSMIZAN RESDI
3 Mei 2024, 8:00 am

KOTA BHARU: Malaysia dijangka terus berdepan dengan cuaca panas hingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.

Negeri-negeri yang kini dilanda cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh kira-kira tiga bulan ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah.

Selain Malaysia, beberapa negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan seperti Filipina, Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, India dan Bangladesh turut menghadapi cuaca panas ekstrem de­ngan suhu mencecah 40 hingga 45 darjah Celsius.

Malah berikutan cuaca panas itu juga, di Terengganu, seramai lima individu terdiri daripada dua anggota tentera, seorang pelajar sekolah, seorang pekerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan seorang warga emas telah dima­sukkan ke hospital akibat terkena strok haba dan kelesuan.

Menteri Sumber Asli dan Kelesta­­ri­an Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, situasi itu menyaksikan beberapa kawasan terutama Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah akan berdepan dengan cuaca panas tersebut.

“Kalau ikut trend biasa, fasa ini akan mula beralih tidak lama lagi dan mungkin hujan akan mula turun dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.


“Bagaimanapun, keadaan ini mungkin akan berubah dan kita akan melihat laporan terkini Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dari masa ke semasa,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Madani di Kampung Aril, Melor, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi memberitahu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memantau paras air dan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sekiranya perlu.

Katanya, setakat ini, pihaknya ada menerima permintaan daripada Kerajaan Negeri Kelantan dan syarikat air untuk melaksanakan pembenihan awan.

“Keputusan untuk pembenihan awan ini tidak boleh dilakukan sesuka hati dan memerlukan panduan serta nasihat daripada MetMalaysia serta kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Malah, kita juga perlu melihat kepada keadaan yang sesuai dari segi awan selain memenuhi syarat lain yang ditetapkan sebelum pembenihan awan dilakukan” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, orang ramai juga dinasihatkan mengikuti saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan terutamanya membabitkan aktiviti di luar yang terdedah dengan cuaca panas. – UTUSAN

Ulasan