Lima teras utama manifesto PN santuni rakyat KKB

Dari kiri: P Punithan; Khairul Azhari; Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen, Dato' Khlir Mohd Nor; menunjukkan manifesto PN sempena PRK Kuala Kubu Baharu. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkifli)

Lima teras utama manifesto PN santuni rakyat KKB
May 6, 2024


HULU SELANGOR: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Khairul Azhari Saut menggariskan lima teras utama dalam manifestonya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang dilancarkan petang tadi.

Lima teras yang terkandung dalam manifesto bertemakan ‘Demi Rakyat Kuala Kubu Baharu, Khairul Komited Berkhidmat’ itu merangkumi pembangunan berkualiti dan mampan, kelestarian alam, memperkasa ekonomi setempat, potensi generasi muda dan wanita serta membela masyarakat minoriti.


Menerusi teras pembangunan, Khairul Azhari mahu memastikan pembangunan infrastruktur dan prasarana asas yang berkualiti serta sempurna.

Dalam pada itu, beliau turut berjanji untuk menjadi suara warga tempatan yang berperanan sebagai perantara rakyat dan agensi kerajaan.

“Kita adalah jambatan kepada rakyat. Setiap aduan akan diterima terutama rakyat setempat,” katanya dalam ucapan pelancaran manifesto di Bi Box, Kuala Kubu Baharu, di sini, tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi PN Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri; Srikandi Muda Bersatu, Nurul Fadzilah Kamaluddin; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan; dan beberapa pimpinan DUN Selangor.

Beliau yang juga merupakan pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu berkata, bagi teras kedua, beliau dan pasukannya menyediakan ‘blueprint’ untuk pembangunan bagi mengekalkan persekitaran bersih serta kehijauan alam semula jadi.

Menurutnya, beliau mahu mempromosikan keindahan alam sekitar sebagai kawasan eko pelancongan yang dapat memangkin kegiatan ekonomi setempat.

“Sebagai orang yang mewakili Kuala Kubu Baharu, saya perlu mengekalkan kelestarian dan kehijauan untuk masa depan baik, untuk negara,” katanya.

Teras ketiga katanya, adalah memperkasa ekonomi setempat dengan membangunkan sebuah pusat khidmat yang turut berfungsi sebagai pemudahcara serta penyuai temu buat sumber daya warga tempatan dengan pemain industri tempatan.

Di samping itu, beliau mahu menyediakan sebuah platform atas talian untuk mempromosi dan menjadi ejen pemasaran produk-produk tempatan.

Selain itu, teras keempat dalam manifestonya adalah menggembleng potensi generasi muda dan wanita progresif.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Felda Sungai Tengi itu berjanji untuk menaiktaraf kemudahan sukan dan rekreasi serta fasiliti awam.

Kita juga mahu melipatgandakan program pemerkasaan anak muda dan wanita khususnya dalam bidang sukan dan sosioekonomi,” katanya.

Akhir sekali, tawaran kelima dalam manifesto calon PN itu pula, melibatkan pembelaan terhadap masyarakat minoriti di mana beliau bertekad untuk memastikan perkampungan Orang Asli diiktiraf dan dimartabatkan dengan kemudahan asas berkualiti dan selamat.

Di samping itu juga, beliau mahu menuntut pembangunan yang mesra orang kurang upaya (OKU) khususnya di setiap prasarana awam seluruh Kuala Kubu Baharu.

Beliau juga mengulas sebab manifesto itu diumum lewat, antaranya kerana mengutamakan program melalui berkempen untuk menyantuni masyarakat di Kuala Kubu Baharu.

“Kita nak pastikan manifesto ini ada kena mengena dengan keluhan rakyat di bawah. Bukannya kita syok sendiri buat manifesto tetapi tak boleh melakukannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

Ulasan